Kejuaraan PETRONAS MAM Malaysian Cub Prix akan kembali hujung minggu ini untuk acara pembuka tirainya yang akan berlangsung di Bandar Jasin Bestari, Melaka. Pelumba-pelumba kategori perlumbaan CP150 nampaknya sudah bersedia untuk menyahut cabaran yang bakal ditempuhi dan menjanjikan aksi-aksi yang lebih menarik.

Md Akid Aziz and Md Afif Amran, duo sepasukan PETRONAS Sprinta Yamaha – CKJ Racing akan kembali untuk memberikan saingan yang terbaik kepada pelumba-pelumba lain untuk meningkatkan lagi tahap prestasi bagi kategori CP150.

Pada musim lepas, Akid and Afif tampil dengan aksi yang mengujakan dan telah bersaing secara kompetitif sepanjang sepuluh pusingan.

Kelebihan mereka terserlah bukan sahaja dalam cara pengendalian jentera tetapi yang lebih penting adalah kebolehan mereka dalam memahami jentera secara keseluruhan dan memberikan tumpuan sepenuh ketika berlumba.

Namun, antara mereka, Akid yang berjaya menamatkan musim tersebut dengan sembilan podium secara keseluruhan telah memberikan beliau kelebihan untuk meraih takhta juara.

Afif tidak kurang hebat dan dengan tujuh podium, beliau menyambar kedudukan naib johan.

Menurut Akid, “Untuk musim ini, saya memperbanyakkan latihan sebelum perlumbaan untuk meningkatkan stamina terutamanya latihan motosikal supaya saya lebih bersedia. Pada pusingan yang akan datang nanti, sudah pasti Afif, Kasma and Azroy akan memberikan saingan yang hebat.





"Setiap tahun, merekalah antara pelumba yang kerap meningkatkan tahap cabaran di kategori ini. Tetapi, mungkin juga musim ini berlainan, lebih-lebih lagi dengan pesaing-pesaing yang baharu. Pasukan saya juga bekerja keras untuk menyediakan motor yang baik dan selesa serta memperbaiki setiap kekurangan pada motosikal.

"Kami sentiasa berbincang dan bekerjasama dalam menyelesaikan masalah yang dihadapi. Selain itu, mereka juga banyak memberikan saya dorongan dan galakkan terutamanya dalam persediaan untuk pusingan pertama ini. Harapan saya adalah untuk buat yang terbaik di Jasin nanti.”

Menurut Afif pula, “Dari segi persediaan, tiada yang baharu. Saya cuma buat latihan seperti biasa. Dari segi jentera pula, ada perbezaan sedikit dari segi peraturan.

"Kami ada buat perubahan 100 peratus pada “setup” enjin motosikal kami. Pada musim lepas, banyak yang saya telah pelajari dan salah satunya adalah untuk mengawal emosi saya supaya saya rasa lebih tenang waktu perlumbaan.

"Untuk pusingan yang akan datang nanti, bagi saya, Kasma dan Azroy sudah pasti akan memberikan saingan yang hebat kerana mereka dahagakan kemenangan. Pasukan saya sentiasa memberikan saya yang terbaik selama ini.

"Mereka selalu mengambil berat mengenai input yang saya berikan supaya ia dapat membantu saya dalam pencapaian yang lebih pantas.

"Saya percayakan pasukan saya. Kelebihan saya mungkin daripada segi pengalaman dan kekurangan saya mungkin berat badan saya. Tetapi saya akan cuba untuk mencari keseimbangan supaya dapat buat yang terbaik," katanya.

Turut menyertai kategori perlumbaan CP150 pada musim ini adalah pelumba Honda, Azroy Hakeem Anuar dari pasukan Honda Yuzy Estremo Team yang telah memberikan saingan yang cukup hebat kepada duo sepasukan sepanjang musim lalu. Di setiap pusingan, Azroy telah memaparkan prestasi yang hebat di samping persaingan yang sengit.

Sebagai seorang pelumba yang berpengalaman, Azroy bukan sahaja hebat di litar kelajuan tinggi malah juga di litar kecil dan selekoh-selekoh tajam. Dengan enam podium termasuk satu kemenangan sepanjang sepuluh pusingan, Azroy berjaya meraih tempat ketiga secara keseluruhan dengan jumlah 144 mata.

Menurut Azroy, “Untuk persediaan bagi pusingan satu nanti, saya cuma melakukan aktiviti-aktiviti untuk menguatkan tahap fizikal saya seperti jogging dan bermain badminton. Saya cuba untuk “keep fit” sebanyak yang mungkin.

"Daripada segi jentera pula, saya hanya tahu yang ada sedikit perubahan dalam peraturan perlumbaan yang akan mengurangkan kelajuan jentera. Namun begitu, matlamat saya adalah untuk menaiki podium di setiap perlumbaan.

"Sudah tentu, masih awal untuk berkata tetapi saya jangkakan persaingan kali ini agak sengit kerana ramai pelumba yang hebat di kategori ini. Pasukan saya sentiasa memberikan yang terbaik buat semua pelumba dan saya mempercayai kebolehan dan kemahiran pasukan saya 100 peratus.




"Bagi saya, tiada kelebihan mahupun kekurangan. Cuma, kami harapkan persaingan yang adil bagi semua pihak," katanya.

Musim ini juga akan menyaksikan aksi pelumba-pelumba kategori CP125 yang telah berjaya mengorak langkah ke kategori CP150.

Di antara mereka adalah Md Fareez Afeez dari pasukan Jetron Yamaha YYPang Racing Team, Md Hafiza Rofa, daripada pasukan ONEXOX TKKR Racing Team dan Md Syafiq Rosli dari pasukan PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor yang akan meneruskan semangat berlumba dengan cabaran yang lebih hebat.