Skip to main content

Advertisement

Permotoran

Cub Prix: Azroy terpantas di Jasin

azroy-fastest-qualifying-cp150.jpg
Azroy Hakeem Anuar memulakan musim 2019 dengan positif apabila mencatat masa terpantas sesi kelayakan kategori CP150 dalam pusingan pembukaan Kejuaraan Cub Prix Malaysia PETRONAS di Jasin, Melaka, hari ini.

Pelumba Idemitsu Honda Yuzy Racing itu mencatat masa terpantas 47.924s, hampir satu saat lebih pantas berbanding rekod litar musim 2018 mengatasi wakil PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor, Md Akid Aziz, yang mencatat masa terbaik 47.949s.

Rakan sepasukan Azroy yang tidak beraksi pada musim lalu, Md Zaqhwan Zaidi, turut bermula positif setelah mencatat masa ketiga terpantas, 48.017s, manakala juara keseluruhan CP150 2018, Ahmad Afif Amran, turut memberikan saingan dalam kelompok hadapan dengan catatan keempat terpantas, 48.060s.

Keputusan itu juga menyaksikan permulaan positif buat kem Honda dan beberapa perubahan teknikal jentera yang diperkenalkan musim ini dijangka bakal menjadikan persaingan kelas perdana musim ini lebih sengit.

“Satu permulaan yang baik buat pasukan, namun kami masih belum boleh berpuas hati. Masih terdapat beberapa perkara yang boleh dipertingkatkan, terutama menjelang sesi kelayakan Superpole esok,” jelas Azroy.

Tambahnya, “Pada masa sama, kami masih belum mengetahui keupayaan sebenar jentera pasukan lawan kerana ini baru perlumbaan pertama untuk tahun 2019. Bagaimanapun, setidak-tidaknya keputusan hari ini dapat meningkatkan semangat dan keyakinan kami sepasukan.”

Sementara itu, duo Motul Yamaha YY Pang, Md Fareez Afeez Abd Rahman dan Md Adib Rosley menguasai sesi kelayakan CP115, masing-masing dengan catatan terbaik 49.451s dan 49.710s. Md Syafiq Rosli (PETRONAS Sprinta Yamaha Maju Motor) muncul pelumba ketiga terbaik dengan masa 49.955s

Sementara itu, Md Zaki A Zamri bakal memulakan perlumbaan akhir kategori WIRA di kedudukan pertama setelah mencatat masa terpantas 50.353s sesi kelayakan Shootout.

Advertisement

Must Watch Video