Skuad boling wanita negara sukar untuk menghimpunkan emosi sebenar selepas begitu hampir merampas emas acara enam sepasukan dalam Sukan Asia Indonesia di Pusat Boling, Bandar Sukan Jakabaring, hari ini.
Mereka akhirnya terpaksa akur dengan pingat perak dan keunggulan barisan pemain Korea Selatan.
Sebanyak 189 jatuhan pin menjadi perbezaan di antara Malaysia (8,149) dan Korea Selatan yang merekodkan 8,338 jatuhan pin keseluruhan.
Malaysia yang diketuai tonggak berpengalaman, Shalin Zulkifli, mengekori rapat Korea Selatan sepanjang enam siri permainan.
Tetapi kualiti Korea Selatan, yang ditunjangi Lee Na-young, menjadi pemisah di antara pingat emas dan pingat perak.
"Kami berasa kecewa juga sebab kami sudah memberikan segala-galanya tadi.
"Kami sudah berusaha sedaya-upaya untuk mendapatkan mata maksimum tetapi nasib tidak menyebelahi kami. Kami berjaya meraih pingat perak," kata Shalin.
Syaidatul Afifah Badrul Hamidi muncul pemain terbaik Malaysia menerusi 1,461 jatuhan pin daripada catatan keseluruhan Malaysia.
Bagaimanapun, dia lebih tahu pencapaian individu tidak bermakna tanpa kejayaan sebagai satu pasukan.
"Saya rasa saingan sangat sengit. Kami buat sehabis baik. Kami ada juga melakukan kesilapan tetapi kami gembira dengan pingat perak," kata Syaidatul.
Selain Shalin dan Syaidatul, Malaysia dibarisi Sin Li Jane, Esther Cheah, Natasha Mohamed Roslan dan Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman.
Pingat gangsa menjadi milik pasukan Taiwan dengan 7,969 jatuhan pin.