Skip to main content

Sukan Asia

Boling tenpin: Emas sulung lonjak semangat kontinjen negara

trio-boling-tenpin-wanita-2.jpg
Trio boling tenpin wanita negara menerusi Esther Cheah, Siti Safiyah Amirah Abdul Rahman dan Syaidatul Afifah Badrul Hamidi menamatkan kemarau pingat emas 12 tahun buat negara.

Kejayaan mereka menghadiahkan emas pertama kontinjen negara dalam Sukan Asia 2018 dari Palembang.

Kali terakhir emas dimenangi Malaysia dalam acara ini adalah dalam kempen Hiroshima 1994 manakala dalam edisi Doha 2006, emas disumbangkan menerusi acara perseorangan dan lima sepasukan.

Kemarau emas itu menghantui mereka dalam temasya Guangzhou 2010 dan Incheon 2014 sehinggalah hari ini tiba. 

Trio emas negara itu menampilkan aksi luar biasa sepanjang saingan dan memimpin setiap satu daripada enam siri permainan yang mereka lalui.

Akhirnya, 4,326 jatuhan pin memadai untuk mereka membutirkan emas berharga dengan kelebihan 71 pin berbanding pencabar terdekat, Taiwan, disusuli Singapura untuk gangsa.

"Dah lama kami menunggu dan akhirnya dapat membawa balik pingat emas," kata Siti Safiyah.

Menurut Syaidatul Afifah pula: "Emas ini sangat besar ertinya bagi kami. 

"Kami tidak menyasarkan medal dalam acara trio wanita. Setiap kali kami bertanding dalam kejohanan, kami tidak sasar emas, sebaliknya buat yang terbaik. 

"Oleh itu, kami tidak memberi tekanan kepada diri sendiri."

Sementara itu, Esther sukar untuk percaya dia menjadi tonggak kepada kejayaan trio ini. 

Lebih menakjubkan, Esther adalah individu penting yang memenangi emas dalam temasya Doha 2006 selain merupakan sebahagian daripada anggota lima sepasukan emas negara.

"Bukan mudah untuk beraksi di lorong 'medium pattern'.

"Saya lega apabila kami berjaya menyesuaikan diri dengan lorong dalam permainan ketiga untuk membuat balingan yang baik," kata Esther.

Ketua jurulatih negara, Holloway Cheah, kini menuntut anak buahnya meneruskan kejayaan yang dilakar trio wanita negara.

Skuad ini sudah pun mencapai misi peribadi dengan menyumbang satu pingat emas, namun dia berasakan mengapa tidak untuk mengimpikan kejayaan lebih besar.

Boling berpeluang menambah pingat emas menerusi lima lagi baki acara dipertandingkan.

"Saya lega kami meraih emas kerana kami menyasarkan satu. Kini, kami sudah boleh mengharapkan lebih banyak emas akan menyusul. 

"Terima kasih kepada pemain yang berhempas-pulas memandangkan catatan markah sangat sengit antara Singapura, Taiwan dan kami. 

"Mujur kami sudah bersedia untuk menghadapinya," kata Holloway. 

Dalam pada itu, tTimbalan chef-de-mission (CDM) negara, Datuk Dr S.S Chema, menjulang kejayaan trio boling wanita negara ini sebagai tonik yang dicari kontinjen negara di sebalik venue di Palembang menyaksikan skuad sepak takraw lelaki menyumbang pingat perak dalam acara regu berpasukan.

"Sudah tentu saya sangat gembira. Bukan sahaja di Palembang, malah melonjak semangat semua atlet kita untuk mencontohi skuad trio wanita tentang bagaimana mereka mendorong diri sendiri untuk memenangi emas.

"Ia permulaan yang baik. 

"Takraw menerusi regu berpasukan mendapat perak dan mereka mempunyai pasukan regu yang mantap. Malah, banyak lagi yang boleh ditawarkan skuad boling. 

"Saya harap banyak lagi pingat akan menyusul bagi menggalakkan pencapaian atlet pada masa hadapan," katanya. 

 

Advertisement

Must Watch Video