Skip to main content

Sukan Asia

Boling: Semangat melawan jadi teras skuad negara

afifah.jpg
Kebangkitan luar biasa menjadi taruhan kem boling negara, terutama harapan terbaik yang digalas atlet wanita, Syaidatul Afifah Badrul Hamidi, dalam pemburuan emas masters.

Afifah dan tiga lagi wakil lain bergelut dalam aksi blok pertama untuk ke peringkat stepladder yang menawarkan perebutan pingat tatkala wakil negara perlu berada dalam kelompok tiga terbaik selepas menamatkan blok kedua yang akan berlangsung esok.

Afifah dan seorang lagi wakil wanita, Natasha Roslan, mengambil masa panjang untuk menemui rentak sebenar sebelum mereka menamatkan saingan di luar kelompok 10 terbaik.

Afifah menduduki tangga ke-13 dengan 1,563 jatuhan pin, disusuli Natasha yang mencatat 1,539 jatuhan pin selepas mengharungi siri lapan permainan.

Situasi itu ini bermakna 138 pin menjadi pemisah buat Afifah dan pemain ketiga yang berada di kedudukan ke stepladder, Joey Yeo dari Singapura.

"Saya berpuas hati walaupun sedikit lambat menyesuaikan diri. Saya tidak menjangkakan corak akan berubah dengan pantas.

"Esok saya akan beraksi dalam corak yang berbeza dan diharapkan semuanya dapat dikekalkan," kata Afifah.

"Aksi pada hari ini menyaksikan saya sedikit gugup. Saya harap esok saya dapat menyesuaikan diri dengan cepat. Sistem mata di sini memerlukan kami sentiasa melakukan strike atau kami akan berdepan kesukaran," tambah Natasha.

Sementara itu, dua wakil lelaki kebangsaan, Rafiq Ismail dan Syafiq Ridhwan Abdul Malek, percaya masih ada ruang buat mereka untuk memburu pingat dalam acara masters.

Tamat blok pertama, Rafiq berada di tempat keenam dan dibezakan 45 jatuhan pin berbanding wakil Korea Selatan, Koo Seonghoi, yang berada di kedudukan ketiga, sementara Syafiq yang berada dalam situasi lebih sukar, masih percaya dengan keajaiban dalam blok kedua.

Selepas lapan siri permainan dalam blok pertama, Syafiq menempatkan diri di kedudukan ke-13 dan dibezakan 158 jatuhan pin dengan Seonghoi.

"Saya berasa yakin. Sebenarnya, sasaran saya memang mengekalkan tempat dalam kelompok tiga terbaik. Saya harap dapat memperkemaskan lagi permainan," kata Rafiq.

"Saya rasa format kutipan mata kali ini berbeza, jadi ia masih terbuka. Sesiapa sahaja masih berpeluang," tambah Syafiq.

"Kami bermula agak perlahan tetapi masih ada peluang untuk bangkit. Saya percaya dan berharap kami mampu mengejar kedudukan," ujar ketua jurulatih negara, Holloway Cheah.

Advertisement

Must Watch Video