Skip to main content

Sukan Asia

Bola baling: Skuad wanita hargai pengalaman uji pasukan gergasi

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bolabaling.jpg
Jurulatih skuad bola baling wanita negara, Syihabuddin Ismail, mempertahankan tindakan menghantar pasukannya menyertai Sukan Asia Indonesia walaupun menjadi mangsa belasahan.

Ternyata, Jepun terlalu hebat untuk Malaysia. 

Banyak jaringan dilakukan dengan mudah ketika skuad kendalian Syihabuddin itu hilang khidmat tiga tonggak, termasuk penjaga gol utama, Aqilah Hasya Haris Fadzillah, ekoran kecederaan dalam aksi di GOR POPKI Cibubur, hari ini. 

Tewas 3-64 bermakna Malaysia gagal ke separuh akhir dan ia mencalar maruah sukan negara.

"Kami berdepan kekangan masa untuk membina kecergasan.

"Bagaimanapun, kami telah berusaha dengan seday-upaya untuk menghalang jaringan yang lebih besar. 

"Begitupun, tiga jaringan yang dilakar tetap merupakan kejayaan kerana berkesempatan menguji pasukan handalan dunia," kata ketua pasukan wanita negara, Farah Atifah Ahmad Yusop.

Penjaga gol negara, Nurul Hafizah Mispani, menganggap pertemuan dengan Jepun sebagai pengajaran berguna untuk mereka pada masa akan datang. 

"Sudah pelbagai cara digunakan (untuk mengekang lawan) tetapi tetap tidak menjadi. 

"Saya tidak memandang kepada sisi negatif. Saya dapat belajar dan mencari jalan untuk menghalang percubaan seumpama itu," katanya.

Pemain sayap kiri Jepun, Katsuren Chie, mencuri tumpuan apabila meledak sembilan gol.

Ini kemenangan kedua terbesar dalam sejarah bola baling Jepun setelah membelasah Maldives 79-0 dalam temasya di Incheon, empat tahun lalu.

"Ia sukar disebabkan bola baling lebih membangun di Jepun berbanding di Malaysia. Itulah sebabnya ada jurang besar di antara kedua-dua pasukan," kata jurulatih Jepun, Ulrik Kirkely. 

"Ia jalan yang panjang dan bukan sekadar mengadakan dua atau tiga kem (untuk membina skuad yang mantap).

"Ia memerlukan usaha sekurang-kurangnya dua tahun," tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video