Skip to main content

Sukan Asia

Bola baling: Skuad negara minta ruang untuk difahami

bola-baling_1.jpg
Kapten skuad bola baling lelaki negara, Muhammad Noor Solihin Mustafa Kamal, meminta peminat di tanah air memahami situasi mereka sebagai pemain separuh masa selepas dibelasah Qatar dalam aksi pembukaan Kumpulan A, Sukan Asia, semalam.

Malaysia dibarisi pemain yang terdiri daripada pelbagai latar belakang tatkala ada yang bekerja sebagai pelajar, penjual burger, pegawai bank dan askar.

Justeru, skuad negara meminta agar tidak dibandingkan dengan jaguh dunia seperti Qatar yang membelasah Malaysia 64-11, semalam.

"Persefahaman kami datang daripada pengalaman. Walaupun mungkin ada yang bermain bola baling dari bangku sekolah, persefahaman itu hadir ketika sesi latihan.

"Secara logik, persefahaman yang lebih baik boleh dicapai melalui kem latihan jangka panjang," kata Noor Solihin.

"Saya bukan hadir daripada keluarga yang senang dan saya mahu menjadikan bola baling sebagai sukan teras dalam negara," tambah penjaga gol, Fikree Azman.

"Malaysia lebih sesuai dengan atlet yang memiliki fizikal yang rendah, berbeza dengan negara lain yang terbiasa dengan kelompok pemain yang tinggi," ujar pertahanan negara yang juga merupakan seorang jurutera, Salman Sayyidi Hamzah.

Jika tewas dalam aksi kedua menentang Iran esok, ia bermakna Malaysia gagal untuk layak ke peringkat suku akhir.

Sementara itu, pemain sayap kiri, Dzulfiqar Ismail, kembali menjalani latihan, sekali gus memberi petanda positif untuk diturunkan menentang Iran walaupun menimbulkan kerisauan setelah mengalami kecederaan dalam perlawanan pertama.

"Keyakinan saya semestinya berada di tahap lebih daripada 100 peratus walaupun ditimpa kecederaan. Saya tetap mahu bermain untuk membantu pasukan melangkah ke peringkat seterusnya.

"Kecederaan yang saya alami ini pernah dilalui sebelum ini tetapi apabila beraksi di pentas lebih besar, ia lebih mudah kembali," katanya.
 

Advertisement

Must Watch Video