Skip to main content

Sukan Asia

Bola baling: Malaysia tetap berhak beraksi di Indonesia

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

bola-balll.jpg
Ketua jurulatih skuad bola baling lelaki negara, Shamsul Nizam Muhammad Ali, menegaskan anak-anak buahnya layak menyertai Sukan Asia Indonesia 2018 walaupun menjadi mangsa belasahan.

Terbaru, Malaysia tewas 11-55 kepada Iran dalam aksi kedua hari ini, sekali gus gagal ke peringkat suku akhir.

Kekalahan itu hadir selepas mereka tunduk 11-64 kepada naib juara dunia, Qatar, dalam perlawanan pembukaan Kumpulan A, kelmarin.

Perbezaan fizikal dan corak permainan terlalu jelas sehingga menimbulkan persoalan, adakah Malaysia patut menyertai temasya itu?

"Untuk perkembangan bola baling Malaysia, aksi di sini adalah satu penampilan yang penting," katanya.
 
Pendapat pengendali itu turut disokong oleh dua pemain negara, Ahmad Zaidi Rosdi dan Dzulfiqar Ismail.

"Kami juga berkenalan dan berbincang dengan jurulatih dari Thailand dan dia memberitahu bahawa Negara Gajah Putih itu mula mengambil bahagian sewaktu edisi 1998. Ketika itu, mereka mengalami kekalahan besar di tangan Kuwait," kata Shamsul.

"Kami cuba tampil dengan aksi terbaik untuk mempertahankan maruah selaku pemain bola baling dan kami telah berjuang berhabis-habisan. Kami lebih bersemangat untuk meneruskan aksi seterusnya," ujar Zaidi.

"Kami akan menerima kritikan yang diberikan kepada kami dan ia akan dipandang secara positif untuk kebaikan kami dalam jangka masa panjang," tambah Dzulfiqar.

Iran mendahului 29-5 ketika separuh masa pertama dan selepas rehat, kelibat pemain pivot Iran, Salaman Barbat, mencuri tumpuan apabila meledak 14 gol untuk mengesahkan kemenangan 55-11.

"Apabila tiba di sini, semua pemain perlu melakukan yang terbaik di dalam gelanggang. Itu yang saya lakukan apabila beraksi untuk Iran,” ujar Salaman.
 

Advertisement

Must Watch Video