Skip to main content

Sukan Asia

Bola baling: Ledakan tuan rumah kejutkan Malaysia

bola-naaa.jpg
Kapten skuad bola baling wanita negara, Farah Atifah Ahmad Yusop, terkejut dengan peningkatan corak permainan Indonesia sehingga Malaysia tewas 15-23 dalam aksi Kumpulan B, Sukan Asia 2018, sebentar tadi.

Ternyata rekod pertemuan sebelum ini tidak dapat dijadikan ukuran buat Malaysia apabila turun beraksi di POPKI Sport Hall, Cibubur, Jakarta.

Indonesia yang beraksi di depan penyokong sendiri tampil bertenaga sepanjang 60 minit perlawanan, malah Malaysia sukar menghalang pemain sayap tuan rumah seperti Claudia Finka Wiranata dan Lia Apriliani yang meledak 11 daripada keseluruhan gol buat pasukan mereka.

"Saya sangat terkejut walaupun sudah menjangka perubahan taktikal daripada pasukan lawan. Kami akan fokus dengan taktikal dan cara yang baru dalam aksi seterusnya," kata Farah Atifah.

"Kami sudah menyekat rentak awal Indonesia, mampu merampas bola daripada mereka. Apa yang menjadi masalah adalah kami gagal menyempurnakan peluang yang terhidang," tambah ketua jurulatih negara, Ismail Syihabuddin.

Separuh masa pertama menyaksikan Farah Atifah dan rakan sepasukan ketinggalan 9-12 sebelum tuan rumah meningkatkan asakan selepas rehat, terutama menerusi jaringan 'jump shot' untuk mengesahkan kemenangan 23-15.

"Kami seluruh pasukan ingin mempamerkan aksi terbaik kerana bermain demi Garuda di dada. 

"Ini adalah laman sendiri dan kami harus menjaganya," ujar pemain sayap kanan Indonesia, Lia Apriliani.

Sementara itu, pemain negara, Nur Farahiyah Yusri, mengakui kesilapan mudah yang banyak dilakukan sehingga membuka ruang buat Indonesia meraih gol.

Namun, dia yang menghasilkan tiga jaringan dalam aksi pertama tetap yakin dengan kemampuan rakan sepasukan untuk mencapai sasaran menduduki kelompok lapan terbaik.

"Saya mengakui banyak melakukan kesilapan hari ini tetapi semuanya berlaku secara tidak sengaja. Kekasaran juga terjadi tanpa dirancang.

"Kami akan cuba sehabis baik dan jika ada rezeki buat kami, ia tetap akan ada," kata Farahiyah.



 

Advertisement

Must Watch Video