Skip to main content

Sukan Asia

Birmingham belum muktamadkan senarai atlet ke Sukan Asia

paul.jpg
Ketua jurulatih renang negara, Paul Birmingham, belum memuktamadkan senarai perenang untuk ke Sukan Asia Indonesia tetapi memberi bayangan jumlahnya hampir sama seperti yang dibawa ke Sukan Komanwel lalu.

Saingan di Gold Coast sebelum ini menyaksikan skuad renang negara dibarisi tujuh atlet yang diketuai oleh Welson Sim.

Walaupun belum mendapat pengesahan daripada Majlis Olimpik Malaysia (MOM) mengenai had kelayakan ke Sukan Asia, Birmingham berasakan jumlah yang hampir sama akan ke Jakarta, Ogos nanti.

"Kami masih lagi menunggu maklum balas daripada MOM dan berharap skuad yang lebih besar dapat dibawa ke Jakarta-Palembang," katanya.

Skuad renang negara akan berlepas ke Perancis, Jumaat ini untuk menyertai Siri Jelajah Mare Nostrum yang juga sebahagian daripada persiapan ke Sukan Asia.

Antara yang menjadi tumpuan sudah pasti Welson yang memenangi salah satu siri di Monaco tahun lalu dengan menewaskan juara Olimpik Rio 2016, Mack Horton, dalam saingan 400 meter gaya bebas selain memecahkan rekod kebangsaan.

Di sebalik pencapaian itu, Birmingham percaya cabaran kali ini lebih sukar buat Welson kerana beberapa perenang handalan dunia turut menjadikan siri berkenaan sebagai persiapan bagi menghadapi kejohanan utama yang lain.

"Welson memberikan tumpuan di Gold Coast dan ia mendatangkan keletihan kepadanya dan berharap dapat melakukan aksi cemerlang sekali lagi."

Advertisement

Must Watch Video