Skip to main content

Sukan Asia

Berbasikal trek: Azizulhasni tidak rela pengalaman pahit berulang

azizulhasni.jpg
Jaguh berbasikal negara, Azizulhasni Awang, enggan berdepan nasib malang buat kali ketiga selepas dua kali pingat dimenanginya dibatalkan dalam temasya besar yang lalu, kali ini dengan misi membutirkan pingat emas buat negara dalam Sukan Asia Indonesia 2018.

Ibarat sudah jatuh ditimpa tangga apabila insiden emas yang dimenangi dalam Sukan Komanwel 2010 dan perak dalam Sukan Asia Incheon 2014 dibatalkan sambil menyifatkan itu sebagai kenangan paling tidak dapat dilupakannya.

Dengan demikian, Sukan Asia edisi ini amat penting untuk bekas juara dunia 2017 itu menyumbang emas dengan mengharapkan tiada lagi insiden berkenaan berulang buat kali ketiga tatkala skuad berbasikal trek negara akan memulakan kempen pada Isnin depan. 

Kejadian lalu sudah cukup memberi pengajaran kepada Azizulhasni yang kini lebih berhati-hati dalam kayuhannya agar tidak dilihat terlalu agresif seperti mana yang didakwa oleh pengadil ketika itu.

"Saya akan cuba kawal apa yang boleh.

"Dalam situasi keirin, kami telah mengkaji rakaman tentang aspek seperti kayuhan lawan. 

"Yang penting, kami melakukan pada masa yang tepat ketika membuat henjutan," katanya.

Pelumba trek wanita negara, Farina Shawati Mohd Adnan, pula ingin melupakan pencapaian tempat kelapan dalam acara keirin Piala Trek China bulan lalu dan kini mengintai tempat ke final Sukan Asia.

"Saya menyasarkan catatan peribadi terbaik dalam acara pecut manakala untuk keirin, macam mana sekalipun saya mahu mendapatkan tempat dalam final," kata Farina. 

 

Advertisement

Must Watch Video