Skip to main content

Berbasikal trek: Azizulhasni sasar minimum satu emas

jijol.jpg
Tiada lagi alasan sekiranya gagal menghadiahkan pingat emas buat Malaysia di pentas Sukan Asia 2018 tatkala jaguh trek berbasikal kebangsaan, Azizulhasni Awang, kini di landasan terbaik mempersiapkan diri berbekalkan dua kejayaan dalam saingan Piala Trek China, bulan lalu.

Azizulhasni sedar tugas berat yang digalas untuk memastikan emas dalam genggaman selepas prestasi agak hambar ditampilkan dalam Kejohanan Trek Dunia, Mac lalu dan Sukan Komanwel 2018, April lalu.

Justeru, saingan di Indonesia adalah peluang berharga untuknya kembali menyerlahkan kemampuan, seiring dengan pencapaian dua emas dalam Piala Trek China serta status juara dunia yang diraih  tahun lalu.

Tiada lagi alasan yang boleh merencatkan misi Azizulhasni dengan persiapannya kini lebih baik berbanding ketika Sukan Komanwel apabila dia dilanda masalah kesihatan.

"Tekanan sentiasa ada di bahu atlet-atlet elit dan bagi saya, ia adalah satu tanggungjawab. 

"Daripada segi persiapan dan fokus untuk Sukan Olimpik, memang ini adalah permulaan yang perlu saya gunakan dengan baik. Jadi, diharapkan saya dapat memberi fokus 100 peratus dan menghasilkan kayuhan terbaik," ujar Azizulhasni.

Pelumba berusia 30 tahun itu akan menyertai tiga acara, iaitu pecut berpasukan, keirin dan pecut individu.

Selain sasaran emas untuk keirin, sudah pasti Azizulhasni ingin membantu acara pecut berpasukan dengan cuba memperbaharui rekod kebangsaan 44.725 saat yang sudah mencecah 10 tahun.

"Untuk pecut berpasukan, kami cuba memecahkan rekod kebangsaan. Kalau dapat melakukannya, ia bermakna kami berada di landasan terbaik.

"Mungkin kami akan berlumba untuk mendapatkan pingat. Untuk acara keirin dan pecut individu, saya akan cuba dapatkan emas. Sekurang-kurangnya satu kilauan emas daripada saya," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video