Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Misbun tidak mahu gelabah

miisbun.jpg
“Belum tiba masa untuk tekan butang panik.”

Itu yang ditegaskan ketua jurulatih badminton perseorangan lelaki negara, Datuk Misbun Sidek, yang ingin pemain melupakan kekecewaan dalam Sukan Asia Indonesia, sebaliknya fokus kepada pemulihan segera yang perlu dilakukan.

Sebaik sahaja menjejakkan kaki di tanah air dari Indonesia, Misbun mahu pemain segera melupakan kekecewaan dalam Sukan Asia kerana ini bukan lagi masa untuk meratapi kekalahan tetapi perlu segera bangkit.

Bagi Misbun, tiada guna berasa panik kerana paling utama adalah mengenal pasti punca dan strategi terbaik dalam membentuk pemain-pemain muda dengan lebih berkesan bagi jangka masa panjang.

"Perkara ini tidak perlu panik. Ia adalah proses daripada peralihan, jadi apa yang penting adalah kerja dan bagaimana ia dijalankan. Tiada jalan mudah.

"Ia harus dipantau dari semasa ke semasa. Kami tidak mahu pemain tertekan dan jika mereka terlalu pantas, mereka juga akan mengalami penurunan prestasi dengan cepat. Apa yang penting adalah bagaimana untuk membentuk mereka," kata Misbun.

Mengulas mengenai perkembangan jaguh badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, Misbun sentiasa berhubung dengannya untuk bertanya khabar dan pemain nombor satu negara itu berada dalam keadaan baik.

Walaupun Chong Wei tidak mengulas panjang mengenai prestasi rakan sepasukan di Indonesia, Misbun percaya dia turut senada untuk mengharapkan kebangkitan pemain muda pada masa akan datang.

"Saya hanya menghantar pesanan ringkas kepada dia dan maklum balasnya baik. Saya percaya dia memerlukan waktu sendiri ketika ini. Saya hanya mendoakan kesihatan dia dan membiarkannya bersama keluarga.

"Diharapkan apa yang dihadapi dapat dipermudahkan."

Advertisement

Must Watch Video