Skip to main content

Sukan Asia

Badminton: Chong Wei buat perhitungan emas dengan Srikanth

lee-chong-wei.jpg
Datuk Lee Chong Wei berpeluang menebus kekecewaannya dalam acara berpasukan campuran kepada pemain India, K. Srikanth, apabila kedua-duanya mengesahkan tempat dalam final di Arena Sukan Carrara esok.

Namun, berdepan seorang lagi wakil India, HS Prannoy, bukanlah tugas mudah buat jaguh perseorangan lelaki negara itu dalam separuh akhir hari ini.  

Pertemuan mereka mempunyai sejarah tersendiri susulan dalam empat pertemuan, dua aksi terakhir diungguli Prannoy. 

Apa yang ketara kini ialah kecemerlangan yang ditampilkan pemain-pemain India, namun dalam set pertama, Chong Wei memperagakan persembahan mantap untuk mendominasi permainan sebelum menang 21-16 dalam tempoh 23 minit. 

Masuk set kedua, lain pula ceritanya apabila Prannoy bangkit dan terus menguasai pertarungan untuk mendahului 6-0. Sukar untuk Chong Wei bangkit sebelum membenarkan lawan menawan set kedua 21-9. 

Enggan mengalah, Chong Wei bangkit pada set penentuan dan memberi saingan kepada Prannoy hingga berlaku detik-detik mencemaskan, namun kecekalan Chong Wei akhirnya membuahkan hasil untuk menang 21-14. 

"Set pertama berlangsung sengit dan pada set berikutnya, dia berjaya mengejar kedudukan.

"Selepas ketinggalan jauh, saya terpaksa buang set itu. 

"Saya menumpukan set ketiga dengan corak agresif, kalau bermain seperti set kedua tadi, saya tidak akan menang. 

"Sebelum perlawanan, memanglah kami akan cakap akan cuba untuk menang, seperti mana Goh V Shem dan Tan Wee Kiong. Tetapi kita boleh lihat pihak lawan menampilkan persembahan konsisten dan bersemangat. 

"Kita belajar daripada kesilapan dan pandang masa depan," katanya. 

Laluan beregu campuran negara, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, pula disekat wakil England, Chris Adcock-Gabrielle Adcock, dalam straight set. 

Sekalipun memberi tentangan kepada pilihan dari England itu, ternyata Peng Soon-Liu Ying tidak dapat menangani kepantasan serta kawalan gelanggang yang baik oleh pihak lawan. 

Liu Ying, yang masih belum pulih sepenuhnya daripada pembedahan bahu, melakukan banyak kesilapan yang memberikan momentum kepada beregu England itu untuk memenangi set pertama 21-19 dalam tempoh 21 minit. 

Peng Soon-Liu Ying cuba bangkit dalam set seterusnya, namun tidak berhasil tatkala lawan dari England itu sentiasa mendominasi permainan serta mengawal gelanggang dengan kemas. 

Kali ini, tiada apa yang mampu diberikan Peng Soon-Liu Ying yang tewas set kedua 21-17 dalam tempoh 24 minit, sekali gus terpaksa melupakan aksi final. 

Kegagalan beregu campuran serta beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, untuk ke pentas final menyebabkan sasaran tiga emas yang ditetapkan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) tidak dapat direalisasikan. 

Advertisement

Must Watch Video