Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

Azmat terapkan keyakinan atlet skuasy, kata Eain Yow

ng-eain-yow.jpg
Pemain skuasy lelaki negara, Ng Eain Yow, menyambut baik taruhan terbaru Persatuan Raket Skuasy Malaysia (SRAM), Ajaz Azmat, selaku ketua jurulatih bagi menghadapi musim 2019 yang menawarkan cabaran berliku membabitkan tiga kejohanan utama.

Eain Yow akan memulakan era baru di bawah tunjuk ajar Azmat selepas tujuh tahun bersama Peter Genever, namun atlet kelahiran Kuala Lumpur yang menghuni ranking ke-35 dunia itu mengakui pernah didedahkan di bawah bimbingan Azmat, khususnya menitikberatkan aspek disiplin dalam latihan.

Bekas pemain Pakistan itu secara dasarnya bukanlah asing kerana pernah bekerjama dengan SRAM bagi pembangunan skuasy negara sebelum ini. 

Atas dasar itu, Eain Yow mudah menerima bimbingan Azmat. 

"Dia sangat tegas, dia selalu mendesak kami supaya berlatih dengan gigih.

"Dia mahu kami memiliki keyakinan terhadap diri sendiri. Ia memperlihatkan perwatakannya yang positif," ujarnya ketika sesi latihan di Bukit Jalil, pagi tadi. 

Cabaran utama Azmat bergantung kepada pencapaian pemain negara dalam tiga kejohanan utama, iaitu Kejohanan Individu Asia (Mei), Kejohanan Individu Remaja Dunia (Julai) dan Sukan SEA Filipina dari 30 November hingga 11 Disember depan. 

Lantas, Eain Yow mahu menggunakan kesempatan ini untuk memperbaiki kedudukannya di ranking ke-30 terbaik dunia sebelum 2019 berakhir.

"Kami perlu teruskan apa yang telah diusahakan sebelum ini. 

"Saya perlu mengkaji semula rakaman permainan membabitkan saya untuk belajar dan buat yang lebih baik," katanya lagi. 
 

Advertisement

Must Watch Video