SUKAN LAIN
Atlet SSBJ raih keputusan cemerlang dalam SPM
Pemain skuasy remaja negara, Siow Yee Xian, bukan sahaja unggul dalam bidang sukan, malah turut cemerlang dalam akademik apabila meraih keputusan 10A dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2017, sekali gus menjadi pelajar terbaik Sekolah Sukan Bukit Jalil (SSBJ).
"Anda perlu berdisiplin dengan memastikan masa dapat dibahagi untuk menjalani sesi latihan dan mengulangkaji pelajaran.
"Anda perlu menggunakan masa yang terluang dengan baik," kata Yee Xian.
Iklan
Yee Xian, yang juga juara Kejohanan Remaja Asia 2017, menyifatkan langkahnya berehat setahun daripada skuasy demi memberi tumpuan kepada pelajaran ternyata berbaloi.
Pelajar sains tulen itu juga menyifatkan kejayaan meraih 10A sebagai satu pemangkin untuk dia lebih berjaya kerana akan meneruskan pengajian di institusi pengajian tinggi di samping beralih ke saingan senior.
Turut meraih keputusan cemerlang ialah Nur Syazwi Aliah Anuar daripada sukan menembak dan Mohammad Zakariya Minsuri (olahraga).
"Saya amat bersyukur kerana mendapat keputusan 6A. Saya sedar kehidupan sebagai atlet dan pelajar amat sukar jika gagal membahagikan masa untuk menjalani latihan dan mengulangkaji pelajaran," kata Nur Syazwi.
Zakariya pula berkata: "Kejayaan ini merupakan hasil sokongan daripada guru dan jurulatih kepada atlet dalam memastikan kami mempamerkan prestasi terbaik di dalam pelajaran mahupun sukan."
Secara keseluruhan, SSBJ mencatatkan kenaikan dalam gred purata sekolah, daripada 5.29 mata kepada 5.40 mata selain peningkatan dalam peratusan lulus daripada 84.61 peratus pada 2016 kepada 95.85 peratus.
Must-Watch Video