Skip to main content

Sukan Lain

Ashraf dalam dilema pilih keputusan tepat

ashraf-haikal.jpg
Atlet ping pong negara, Ashraf Haiqal Rizal, berada dalam dilema sama ada mahu meneruskan cita-citanya berkelana ke Eropah atau beraksi dalam Sukan SEA Filipina, November depan.

Sebelum ini, Ashraf mencari kelab baru di Eropah selepas tidak lagi bersama SB/DJK Rosenheim di Munich, Jerman.

Tuah seakan-akan memihaknya apabila satu lagi kelab Jerman, TTC Wohlbach, terpikat dengan aksinya ketika dalam Kejohanan Dunia di Hungary, minggu lalu, sehingga ditawarkan kontrak untuk menyertai pasukan itu, September depan.

Situasi itu mendatangkan dilema buat Ashraf memandangkan liga berkenaan akan berlangsung hingga April 2020 ketika khidmatnya turut ditagih skuad kebangsaan dalam Sukan SEA Filipina.

"Saya akan memohon keizinan daripada kelab dan persatuan untuk melakukan penyelesaian terbaik.

"Sukan SEA juga penting buat saya kerana saya mewakili negara, jadi saya berharap kelab saya dapat memahaminya.

"Saya akan mengadakan perbincangan dengan pihak kelab dan persatuan," katanya.

Bagaimanapun, Ashraf tetap teruja untuk sekali lagi berkelana ke luar negara.

Pemain itu akan berlepas semula ke Jerman, Ogos depan bagi sesi pengenalan pemain bersama kelab berkenaan.

"Mereka memberikan tawaran yang bagus dan saya tengok dalam kelab itu terdapat ramai pemain yang boleh membantu saya memperbaiki permainan.

"Liga di sana juga amat kompetitif.

"Saya ingin mencuba sesuatu yang baru dan mengambil pengalaman di tempat yang baru," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video