Pertahanan Kuala Lumpur (KL) City, Giancarlo Gallifuoco, berkongsikan mengenai khabar angin yang bertiup kencang sebelum ini mengenai statusnya yang bakal memperkuatkan skuad kebangsaan.
Perkara itu susulan sebelum ini tular pemain berusia 32 tahun itu didaftarkan sebagai pemain tempatan dalam sistem Competition Management System (CMS) milik Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), namun dia yang diturunkan ketika bertemu Kuching City masih memegang status 'A' yang mewakili pemain import.
"Ia sangat mengelirukan buat saya juga, saya dapat mesej daripada ibu mentua saya mengucapkan 'tahniah'.
"Saya tidak tahu apa yang akan berlaku, semua orang tahu saya saya sayangkan negara ini. Skuad kebangsaan satu impian. Ia bukan sahaja mengenai masa depan saya.
"Saya berdoa setiap hari saya dapat panggilan untuk pergi selesaikan segalanya, tetapi buat masa sekarang saya tidak tahu apa-apa.
"Impian saya untuk terlibat dalam kejohanan seterusnya (bersama Harimau Malaya pada September dan Oktober ini), semestinya tetapi saya tidak tahu apa-apa buat masa ini." katanya.
Pemain kelahiran Sydney, Australia itu menyertai KL City sejak 2021, sudah melengkapkan tempoh lima tahun beraksi dalam negara sekali gus melepasi peraturan yang ditetapkan Persekutuan Persatuan Bola Sepak Antarabangsa (FIFA) untuk didaftarkan sebagai pemain tempatan.