Pemenang pingat emas Sukan Komanwel Glasgow 2026, Aniq Kasdan, menjadi antara sandaran utama Universiti Teknologi MARA (UITM) untuk mempertahankan gelaran juara keseluruhan Sukan Institusi Pengajian Tinggi (SUKIPT) 2026.
Semangat itu dizahirkan menerusi Majlis Penyerahan Bendera Kontinjen UITM ke SUKIPT 2026 yang disempurnakan Timbalan Naib Canselor Hal Ehwal Pelajar UITM, Profesor Dr. Sazili Sahibi.
"Selain Aniq yang mengungguli sukan angkat berat di Komanwel, kami juga ada atlet daripada sukan ragbi, boling padang, memanah dan petong yang telah terlibat dalam kejohanan antarabangsa.
"Ini adalah bintang yang kami lahirkan akan bersama dalam SUKIPT kali ini untuk mencapai sasaran," katanya.
Aniq yang juga badang negara menghadiahkan pingat emas pertama kontinjen negara pada temasya Sukan Komanwel menerusi acara kategori 60 kilogram di Glasgow julai lalu.
Dengan kekuatan 510 atlet, kontinjen UITM menyasarkan 39 pingat emas, 17 perak dan enam gangsa.
Namun, misi kali ini hadir dengan cabaran apabila futsal wanita, sofbol wanita dan kayak digugurkan daripada pertandingan.
Cabaran bukan penghalang, pengalaman menjadi kekuatan dan senjata buat UITM untuk mengintai peluang jadi juara keseluruhan buat kali keempat.
"Ia bukan halangan, memang kami tidak dapat berikan peluang kepada atlet yang bersedia lebih awal untuk sertai acara itu.
"Tetapi acara itu tidak dapat diadakan seperti futsal Wanita yang kami ada kekuatan untuk raih emas. Itu bukan halangan. Kami percaya juara bersedia dalam apa keadaan sekali pun." tambahnya.