Skip to main content

Advertisement

Sukan Lain

ASG: Ming Hock tidak rela terus ulangi kesilapan kecil

wing-ming-hock.jpg
Pemain skuasy remaja negara, Wee Ming Hock, meleburkan rekod cemerlang tanpa kalah Malaysia dalam Kejohanan Sekolah-Sekolah ASEAN (ASG) 2018 selepas tewas 2-3 di tangan lawan dari Singapura di Pusat Skuasy Nasional, Bukit Jalil, sebentar tadi. 

Terdahulu, Malaysia cemerlang dengan empat kemenangan berturut-turut dalam acara beregu lelaki dan wanita, beregu campuran serta perseorangan wanita.

Namun, misi untuk menyapu bersih tujuh pingat emas terkubur apabila Ming Hock ditundukkan Bairavarasu Rutvik dari Singapura sungguhpun mendahului dua set pertama sebelum perlawanan diheret ke set penentuan. 

Tindakannya yang terlalu ghairah menginginkan kemenangan dalam aksi cukup sengit yang mengambil masa 85 minit itu akhirnya memakan diri sehingga memberi peluang kepada lawan untuk terus mengejar mata bagi meraih kemenangan tipis 14-12 dalam set penentuan. 

"Dalam mata terakhir semasa Rutvik mendahului 13-12, saya memukul bola keluar. 

"Kesilapan kecil seperti itulah menyebabkan saya kalah," katanya. 

Saingan sengit dalam ASG edisi ini menjadikan pemain berusia 17 tahun itu cukup bersedia untuk menggalas cabaran dalam Terbuka Remaja Hong Kong, 30 Julai ini, yang turut menjadi salah satu daripada persiapan menjelang Sukan Malaysia (Sukma) Perak, September depan.

"Selepas kempen ASG, saya akan ke Hong Kong pada 30 Julai ini.

"Saya harap dapat belajar lebih banyak lagi di sana, kemudian pulang untuk menjalani persiapan menghadapi Sukma. 

"Saya harap kesilapan saya akan diperbaiki semasa latihan pusat itu nanti," katanya. 
 

Advertisement

Must Watch Video