PAPARAN UTAMA GROUP
ARRC: Penularan pandemik gugat pra-musim OneXOX TKKR
Tamparan buat pasukan OneXOX TKKR menjelang pusingan pertama Kejuaraan Motosikal Asia (ARRC) di Litar Buriram, Thailand, apabila seramai 12 ahli pasukan disahkan positif COVID-19.
Ia termasuk dua pelumba iaitu Muzakkir Mohamed dan Hafiza Rofa yang baru sahaja menaiki podium di Litar Antarabangsa Sepang dalam kancah Cub Prix, minggu lalu.
Bagaimanapun, pasukan yang sinonim dengan warna hijau hitam itu boleh menarik nafas lega apabila tonggak utama dalam kategori Asian Superbike 1000 (SBK1000), Azlan Shah Kamaruzaman dan Adam Norrodin, bebas daripada pandemik itu dan kekal menyertai baki kakitangan pasukan yang lain terbang ke Thailand hari ini.
Iklan
OneXOX TKKR akan menjalani aksi pra-musim bermula Isnin depan sebelum saingan sebenar membuka tirai pada hujung minggu depan.
"Walaupun ada beberapa kakitangan yang tidak sihat tapi kami tetap teruskan pusingan kali ini.
"Kami bermotivasi mengharungi pusingan pertama," kata Adam.
Dalam masa sama, juara 2019, Azlan Shah belum mahu meletakkan sebarang harapan tinggi sebaliknya ingin memantau persiapan pencabar yang lain terlebih dahulu.
"Untuk musim baru ini, saya mahu cuba menyesuaikan diri dengan jentera dan melihat tahap pesaing saya sambil berharap dapat menyesuaikan diri dengan cepat," katanya.
Must-Watch Video