Skip to main content

Permotoran

ARRC: Azlan, Helmi juara di Suzuka

azlanarrc.jpg
Pelumba ngara, Azlan Shah Kamaruzaman, meraih kemenangan pertama dalam saingan SuperSports 600cc musim 2018 apabila mengungguli Perlumbaan 1, Pusingan Ketiga Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) di Litar Suzuka, Jepun, hari ini.

Pelumba Manual Tech KYT Kawasaki Racing itu yang bermula dari petak pertama, memulakan aksi dengan baik untuk mendahului perlumbaan, namun berjaya di pintas beberapa pelumba lain seawal pusingan kedua perlumbaan.

Azlan, bagaimanapun, kekal memberikan cabaran dalam kelompok lima pelumba hadapan sebelum menggunakan peluang untuk memintas dan kembali mendahului kedudukan pada baki tiga pusingan terakhir sebelum menamatkan 13 pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 29:09.539 saat.

Rakan sepasukan Azlan, Ahmad Yudhistira, muncul naib juara dengan masa 29:10.177s, diikuti Anthony West (Webike Ikazuchi Racing) ketiga dengan masa 29:10.656s.

“Saya gembira dengan kemenangan ini dan berterima kasih kepada pasukan kerana menyediakan jentera yang terbaik kepada saya,” jelas Azlan yang kini naik ke tangga teratas dalam senarai keseluruhan dengan 63 mata.

“Perlumbaan seperti biasa berlangsung sengit dan saya juga bersaing sengit dengan Yudhistira sendiri sebelum memenangi perlumbaan. Saya berharap dapat mengekalkan momentum seperti ini dalam perlumbaan kedua esok.”

West, yang tidak beraksi dalam pusingan kedua di Australia sebelum ini, turun ke tangga kedua keseluruhan dengan 61 mata manakala Yuki Ito (Yamaha Racing Asean) ketiga dengan 55 mata.

Saingan kelas Asia Production menjadi milik pelumba Indonesia, Rheza Danica Ahrens (Astra Honda Racing Team) yng menamatkan perlumbaan dengan masa 19:50.478s, diikuti Anupab Sarmoon (YAMAHA Thailand Racing TEAM ) kedua, 19:55.777s.

Rakan sepasukan Rheza, Mario Suryo Aji, di kedudukan ketiga dengan masa 19:55.986s manakala Ahmad Afif Amran (CKJ Yamaha Racing) muncul pelumba terbaik negara setelah menamatkan perlumbaan di tempat ketujuh.

Rheza turut mendahului senarai keseluruhan dengan mengumpul 98 mata.

Sementara itu, pentas podium kategori Underbone 150cc menjadi milik pelumba Malaysia, Md Helmi Azman (SCK Rapido Hi Rev Honda Racing Team) yang menamatkan lima pusingan perlumbaan dengan masa keseluruhan 13:25.729s, mengatasi rakan senegara, Md Akid Aziz.

Pelumba UMA Racing Yamaha Maju Motor Asia Team itu menamatkan perlumbaan dengan masa 13:25.808s, diikuti pelumba Indonesia, Gupita Kresna Wardhana (Yamaha Yamalube SND Factory) ketiga, 13:25.982s.

Kemenangan ini melonjakkan Helmi ke kedudukan teratas dalam senarai keseluruhan dengan 81 mata, diikuti Md Izzat Zaidi (RCB Yamaha YY Pang Racing) yang menamatkan perlumbaan di kedudukan keenam, di tangga kedua dengan 77 mata. Akid naik ke tangga ketiga dengan mengumpul 61 mata.

Advertisement

Must Watch Video