Skip to main content

Permotoran

Amirul mahu julang gelaran terakhir Underbone Asia

26916amirul.jpg
Mohd Amirul Ariff Musa meletakkan sasaran untuk menjulang gelaran terakhir dan menamatkan dominasi Indonesia dalam kategori Underbone 130cc Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) yang akan memasuki pusingan kelima di Litar Antarabangsa Buddh, India dari 30 September hingga 2 Oktober ini.

Setelah kategori 150cc bakal diperkenalkan bermula musim 2017, pelumba T. Pro Yuzy Honda NTS itu bertekad untuk menghalang pendahulu keseluruhan kategori tersebut, Wahyu Aji Trilaksana, daripada membawa pulang gelaran perlumbaan unik kelas Underbone ke negara Indonesia buat kali ketujuh berturut-turut.

Dengan peralihan juara bertahan, Gupita Kresna Wardhana, ke kategori Asia Production 250cc, Wahyu kini mengungguli kedudukan dengan 88 mata, hanya lima mata di hadapan Amirul sambil diekori beberapa pelumba Malaysia yang lain seperti Mohd Izzat Zaidi Salehan, Ahmad Fazli Sham, Norizman Ismail dan Helmi Azman yang dilihat masih berpeluang untuk mengejar kedudukan pendahulu.

"Peluang untuk mengejar gelaran Underbone 130cc masih ada dan semakin mendebarkan. Tahun 2016 merupakan musim terakhir bagi kategori Underbone 130cc dan akan digantikan dengan kategori Super-Underbone 150cc atau lebih dikenali SuperCub pada musim hadapan," jelas Amirul.

"Selepas empat pusingan, kedudukan pendahulu dan juara saling bertukar ganti. Tidak ada pelumba yang jelas mendominasi saingan musim ini. Namun, jika berjaya memperoleh keputusan baik di Litar Buddh minggu ini, ia akan memberi kelebihan dan motivasi untuk menghadapi perlumbaan terakhir di Buriram, Thailand, Disember nanti."

Pusingan 5 Kejuaraan Motosikal Asia FIM (ARRC) akan berlangsung di Litar Antarabangsa Buddh, New Delhi, India pada 30 September hingga 2 Oktober.

Advertisement

Must Watch Video