Skip to main content

Hoki

Akhir Siri Hoki FIH: Oltmans sedia hadapi taktikal bertahan Wales

roelant-oltmans_1.jpg
Ketua jurulatih skuad hoki negara, Roelant Oltmans, bersedia untuk menghadapi satu lagi corak bertahan lawan apabila berdepan Wales dalam perlawanan 'cross-over' Kejohanan Pusingan Akhir Siri Hoki FIH di Bukit Jalil, malam ini.

Malaysia kerap terperangkap dengan corak bertahan dan serangan balas pantas lawan.

Ia berlaku ketika The Malaysian Hockey Tigers diikat China 4-4 dan tewas 2-4 kepada Itali dalam aksi peringkat kumpulan.

Pasukan di ranking ke-24 dunia, Wales, dijangka menggunakan taktikal sama, sekali gus memaksa Oltmans bersiap-sedia dengan "Pelan B".

"Secara jujurnya, kami hanya akan menghadapi taktikal parkir bas kerana ia kecenderungan yang berlaku dalam kejohanan ini.

"Kami mungkin akan bermain secara terbuka memandangkan ia salah satu perkara yang kami bincangkan sebelum ini.

"Kami akan melancarkan serangan berterusan dan mereka pastinya akan melakukan kesilapan," katanya.

Berdasarkan rekod pertemuan, ia memihak Malaysia yang memenangi ketiga-tiga pertemuan lalu.

Malaysia turut menewaskan Wales 2-0 dalam aksi pemanas badan sebelum kejohanan ini bermula.

Sementara itu, Oltmans tidak akan mengubah posisi Faizal Saari selaku penyerang dan pemain tengah menyerang untuk menghadapi Wales.

"Dia akan bermain di kedua-dua posisi itu.

"Dia akan bermain di bahagian tengah dan adakalanya sebagai penyerang.

"Apabila kami bermain dengan dua penyerang, dia akan beraksi di bahagian tengah dan serangan.

"Dia bukannya sentiasa beraksi di bahagian tengah, jadi kepada sesiapa yang mengatakan itu sebelum ini, mereka perlu menganalisis perlawanan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video