Skip to main content

Sukan Lain

ACC: Shukor, Najib rangkul perak

Ikuti perkembangan sukan terkini di saluran WhatsApp Astro Arena

shukor17218.jpg
Dua pelumba berbasikal para negara, Shukor Farhan Suliman dan Mohd Najib Turano, terpaksa berpuas hati dengan pingat perak dalam kategori masing-masing bagi acara kejar mengejar 3km dalam Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Velodrom Nasional, Nilai, hari ini.

Shukor, yang memburu slot ke Sukan Para Asia di Indonesia pada Ogos depan, menjadikan acara kejar-mengejar 3km kategori C1-C3 sebagai sasaran meraih kedudukan podium.

Dia berdepan cabaran sukar apabila menentang pelumba berpengalaman dari Jepun, Shota Kawamoto, dalam final.

Meskipun Shukor yang juga pemenang pingat emas Sukan Para ASEAN 2017 dalam acara itu cuba memberi tentangan hebat, ia masih belum memadai untuk menyekat Kawamoto.

Hasilnya, Kawamoto berjaya memintas Shukor pada penghujung saingan, sekaligus menamatkan cabaran wakil negara itu.

Gangsa bagi acara itu dimenangi seorang lagi pelumba negara, Mohamad Yusof Hafizi Shaharuddin, selepas menewaskan Muhammad Adi Raimie Amizazahan dalam penentuan tempat ketiga.

"Saya sudah cuba sehabis baik untuk menewaskannya. Ketika kelayakan pun, saya dan dia tidak jauh, bawah empat minit.

"Tetapi mungkin disebabkan pengalamannya, dia dapat mengejar saya dalam final," kata Shukor.

Dalam pada itu, strategi tidak menjadi mengakibatkan Najib kecundang kepada pelumba Iran, Mehdi Mohammadi, bagi saingan kategori C4.

Najib membuat permulaan baik apabila berjaya merapati Mehdi pada satu ketika sebelum lawannya itu meningkatkan rentak kayuhan.

Kedua-dua pelumba itu bersaing hebat hingga pusingan ke-16, namun catatan masa memihak Mehdi yang meraih emas dengan merekodkan 5 minit 0.437 saat.

Pingat perak milik Najib manakala gangsa dimenangi oleh pelumba Indonesia, Muhammad Fadli Imammuddin.

"Dalam saringan pertama, saya lakukan yang terbaik tetapi dalam final saya teruja untuk mengejar sehingga kehabisan tenaga pada penghujungnya," kata Najib.

Advertisement

Must Watch Video