Peralihan M. Thinaah daripada pemain perseorangan kepada beregu wanita pada 2019 merupakan antara susunan terbaik dalam kariernya.

Selepas transisi itu, dia digandingkan pula dengan Pearly Tan dan ia jelas menukilkan seribu satu sejarah manis sehingga kini.

Diam tak diam, dia kini memegang portfolio sebagai pemain beregu wanita nombor satu negara dan sukar digugat pasangan pelapis lain.

Thinaah dan Pearly juga akan membuat penampilan pertama dalam Sukan Olimpik di Paris bulan depan.

Dalam satu temu bual bersama wartawan Astro Arena, Faizal Bazari, Thinaah berkata: "Ia (ketika itu) merupakan keputusan hidup dan mati buat saya.

"Kerana peralihan itu bukan sesuatu yang mudah buat saya. Sebagai perseorangan wanita, saya sedar banyak yang saya perlu pelajari dalam acara beregu.

"Sudah pasti impian setiap pemain badminton adalah untuk beraksi dalam Sukan Olimpik.

"Saya juga tidak sangka yang kali ini, kami benar-benar dapat beraksi di pentas itu.

"Saya juga perlu berterima kasih kepada pasangan saya (Pearly) dan jurulatih kerana sokongan yang tidak berbelah bahagi sehingga hari ini.

"Ketika itu, saya perlu membuat keputusan sama ada mahu bertukar ke acara beregu atau meninggalkan lapangan badminton.

"Terima kasih juga kepada jurulatih Rosman (Razak) kerana menerima saya sebagai pemain beregu dan banyak membimbing saya.

"Untuk berada di mana saya berada sekarang, saya amat gembira dan teruja untuk beraksi dalam Sukan Olimpik," katanya.