Skip to main content

Badminton

Terbuka Switzerland: Lima wakil negara ke separuh akhir

kian-meng-pei-jing.jpg
Lima wakil negara menempatkan diri ke Terbuka Switzerland, awal pagi tadi, dengan satu slot ke final sudah terjamin menerusi pertembungan Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Goh Soon Huat-Shevon Lai dalam separuh akhir beregu campuran.

Selain dua beregu lelaki, wakil beregu wanita Malaysia turut mara apabila Vivian Hoo-Lim Chiew Sien mnenyingkirkan pemain India, Ashwini Ponnappa-Reddy N.Sikki, 22-20, 23-21 untuk bertemu pasangan adik beradik dari Bulgaria, Gabriella-Stefani Stoeva.

 
Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dan Aaron Chia-Soh Wooi Yik juga mengintai peluang ke perlawanan akhir selepas mempamerkan aksi mantap. 

Sze Fei-Nur Izzuddin memerlukan 52 minit untuk mengatasi beregu Indonesia, Leo Rolly Carnando-Daniel Marthin, 21-18, 19-21, 21-12 dan akan menentang satu pencabar muda dari Indonesia, Pramudya Kusummawardana-Yeremia Erich.

Aaron-Wooi Yik pula tidak berdepan banyak karenah daripada wakil Jerman, Mark Lamsfuss-Marvin Seidel, untuk menang 21-11, 21-13 bagi menempah pertemuan dengan pilihan keempat, Fajar Alfian-Rian Ardianto. 

Ia sepatutnya menjadi tiga wakil Malaysia dalam separuh akhir, tetapi Ong Yew Sin-Teo Ee Yi terpaksa akur selepas mengerah keringat untuk tumbang 12-21, 21-9, 20-22 kepada Fajar-Rian.

 

Dalam beregu campuran, Kian Meng-Pei Jing berhempas-pulas menewaskan Mathias Christiansen-Alexandra Boje 11-21, 22-20, 21-15 untuk mengatur pertemuan dengan satu lagi beregu profesional negara, Soon Huat-Shevon, yang menundukkan William Villeger-Anne Tran dari Perancis 21-17, 21-12.

Bagaimanapun, laluan S.Kisona tersekat selepas tumbang 11-21, 12-21 kepada pemain Thailand, Supanida Katethong.

Anna Ching-Teoh Mei Xing juga ditunjukkan jalan keluar apabila Linda Efler-Isabel Lohau tangkas dengan kemenangan 21-18, 21-18 ke atas beregu wanita negara itu. 

Advertisement

Must Watch Video