Skip to main content

Badminton

Terbuka Singapura: Peluang Kian Meng-Pei Jing akhiri kemarau kejuaraan

kianmengpeijing.jpg
Pasangan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing, mara ke perlawanan akhir Kejohanan Badminton Terbuka Singapura, sekali gus berpeluang untuk menamatkan kemarau kejuaraan selama 27 bulan.

Kali terakhir Kian Meng-Pei Jing memenangi perlawanan akhir ialah dalam Masters Malaysia pada Januari 2017.

Pemain bukan pilihan itu mengalahkan Hafiz Faizal dan Gloria Emanuelle Widjaja dari Indonesia 21-16, 20-22, 22-20 dalam perlawanan separuh akhir 71 minit yang mendebarkan hari ini.

Kemenangan itu boleh disifatkan sebagai ‘dendam berbalas’ oleh gandingan itu selepas pilihan ketujuh dari Indonesia itu menumpaskan pasangan nombor satu Malaysia, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, dalam pertemuan suku akhir dan satu lagi beregu negara, Chen Tang Jie-Peck Yen Wei, dalam pusingan pertama.

Kian Meng-Pei Jing akan berdepan pilihan ketiga, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai dari Thailand esok yang menundukkan pilihan pertama, Zheng Siwei-Huang Yaqiong dari China dalam perlawanan separuh akhir hari ini.

“Selepas Terbuka Malaysia, kami berjaya membina sedikit keyakinan,” kata Pei Jing.

Pasangan itu beraksi sehingga ke peringkat separuh akhir dalam Terbuka Malaysia baru-baru ini.

“Kami tidak  mahu fikir sangat. Kami juga bersedia untuk menghadapi perlawanan yang sengit, bagaimanapun kami gembira kerana kami boleh menang lagi. Ini benar-benar seperti membina keyakinan kepada kami,” katanya.

Mengimbas kembali perjalanan mereka dalam kejohanan Terbuka Singapura, Kian Meng-Pei Jing mengalahkan pilihan kedua dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam pusingan pertama, satu lagi pasangan Jepun, Kohei Gondo-Ayane Kurihara, dalam pusingan kedua dan seterusnya gandingan dari Indonesia, Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet.

Kian Meng-Pei Jing pernah berada pada kedudukan 10 terbaik dunia pada 2016, namun prestasi mereka merudum sejak 2017 sehingga bulan lalu.

Dalam empat kejohanan yang mereka sertai awal tahun ini, bermula dengan Masters Malaysia, Masters Indonesia, Terbuka Jerman dan Seluruh England, Kian Meng-Pei Jing sering tersingkir seawal pusingan pertama.

“Kami berusaha keras sejak 2018. Kami gembira kerana kami dapat bangkit semula,” kata Pei Jing.

Pasangan itu menjangkakan perlawanan sengit esok apabila berdepan Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, wakil tunggal Thailand dalam kejohanan itu yang menawarkan hadiah berjumlah ASD$355,000 itu.

“Kami perlu bermain dengan sebaik-baiknya. Kami juga perlu membuat persediaan rapi,” kata Pei Jing.

Pasangan beregu campuran Malaysia, Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie, mengalahkan gandingan nombor satu dunia, Tontowi Ahmad-Liliyana Natsir dari Indonesia, dalam perlawanan akhir Terbuka Singapura tahun lalu.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video