Skip to main content

Badminton

Terbuka Singapura: Kian Meng-Pei Jing tewas dalam final

peijingkianmeng.jpg
Tan Kian Meng-Lai Pei Jing gagal menamatkan kemarau kejuaraan selama 27 bulan apabila tumpas mudah dalam final acara beregu campuran Kejohanan Badminton Terbuka Singapura 2019, hari ini.

Perlawanan akhir pertama pasangan beregu campuran negara itu sejak memenangi Masters Malaysia pada Januari 2017, menyaksikan mereka mempamerkan aksi gugup, termasuk beberapa kali melakukan jangkaan silap ketika gandingan Thailand, Dechapol Puavaranukroh-Sapsiree Taerattanachai, melakukan servis sebelum tewas 14-21, 6-21.

“Kami tidak terlalu memikirkan (mengenai kemarau kejuaraan). Kami sudah berpuas hati mara hingga ke final di sini,” kata Kian Meng.

Selepas Terbuka Singapura kali ini, pasangan beregu campuran Malaysia itu dijangka menyertai Kejohanan Badminton Asia 2019 yang akan berlangsung di Gimnasium Pusat Sukan Wuhan, China, dari 23 hingga 28 April ini.

Berikutan pencapaian membanggakan sejak kebelakangan ini, gandingan negara itu kini menduduki ranking ke-26 daripada ke-38 dunia, dua minggu lalu.

“Lawan kami beraksi begitu baik, pada masa sama kami tidak menampilkan prestasi terbaik hari ini,” kata Pei Jing ketika mengulas mengenai perlawanan yang berlangsung di Stadium Tertutup Singapura itu.

Beregu Malaysia itu yang diletakkan sebagai pasangan bukan pilihan dalam kejohanan yang menawarkan hadiah wang tunai keseluruhan ASD355,000 itu, mempunyai rekod pertemuan kurang membanggakan berdepan pasangan Thailand itu yang merupakan beregu keempat dunia apabila hanya menang dua daripada lima pertemuan.

Kedua-dua pasangan beregu itu pernah bertemu dalam Terbuka Jepun 2018, Kejohanan Dunia BWF 2018, Terbuka Singapura 2017 dan Terbuka Thailand 2016.

Untuk rekod, dalam Terbuka Singapura 2019, Kian Meng-Pei Jing mengejutkan pilihan kedua, Yuta Watanabe-Arisa Higashino dari Jepun dalam pusingan pertama dan menewaskan satu lagi pasangan dari Negara Matahari Terbit itu, Kohei Gondo-Ayane Kurihara, dalam pusingan kedua.

Pasangan Malaysia itu kemudian menumpaskan Ricky Karandasuwardi-Pia Zebadiah Bernadet dari Indonesia dalam suku akhir, dan pilihan ketujuh, Hafiz Faizal-Gloria Emanuelle Widjaja, juga dari Indonesia, dalam separuh akhir.

-- BERNAMA
 

Advertisement

Must Watch Video