Skip to main content

Advertisement

Badminton

Terbuka Malaysia: Zii Jia manfaat pengalaman berdepan jaguh handalan

lee-zii-jia-2.jpg
Ketiadaan jaguh perseorangan badminton negara, Datuk Lee Chong Wei, menyaksikan fokus peminat dalam acara perseorangan lelaki kini terarah semula kepada pemain muda meningkat naik, Lee Zii Jia, yang akan membawa cabaran dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia di Arena Axiata, Bukit Jalil, dari 2 hingga 7 April ini. 

Mengakui turut berasa tempias ketiadaan Chong Wei yang pada awalnya turut dijadualkan beraksi, Zii Jia bagaimanapun tidak mahu keadaan tersebut mengganggu aksinya di atas gelanggang.

“Memang akan ada tekanan kerana semua peminat pastinya mengharapkan saya untuk menyerlah. Apapun, saya tidak mahu fikir terlalu banyak, sebaliknya akan fokus untuk menghadapi setiap perlawanan,” katanya.

Ditanya adakah dia sudah bersedia untuk mengejar pencapaian Chong Wei dalam Terbuka Malaysia, Zii Jia berkata, “Mengenai pencapaian 12 kali kejuaraan yang diraih Lee Chong Wei dalam Terbuka Malaysia, ia adalah luar biasa serta sukar untuk ditandingi. Saya akan cuba selangkah demi selangkah dan percaya kejayaan akan hadir selepas itu.”

“Dengan pengalaman menentang beberapa pemain ranking atasan dunia seperti Viktor Axelsen dan pernah menewaskan Chou Tien Chen sebelum ini, ia adalah satu pengalaman yang berguna. Saya harap dapat mengekalkan rentak di atas gelanggang apabila beraksi nanti,” ujarnya.

Pemain tinggi lampai berusia 20 tahun itu dijadualkan bertemu pemain dari Thailand, Suppanyu Avihingsanon, dalam pusingan pertama. 

Andai melepasi pusingan pertama, cabaran lebih besar menanti Zii Jia apabila dia bakal berhadapan sama ada pemain berpengalaman China, Lin Dan, atau pemain Taiwan, Tien Chen, dalam pusingan kedua.

Zii Jia juga mengharapkan sokongan padu peminat untuk membakar semangatnya dan rakan-rakan lain.

Satu lagi wakil negara dalam acara perseorangan lelaki adalah pemain profesional, Liew Daren, yang juga akan bertemu pemain Thailand, Kantaphon Wangcharoen, dalam pusingan awal.







 

Advertisement

Must Watch Video