BADMINTON
Terbuka Malaysia: Lepasi badi pusingan pertama dahulu --- Pei Jing
Pemain beregu campuran negara, Lai Pei Jing, tidak gentar untuk mencabar pilihan ketiga yang juga gandingan dari Jepun, Yuta Watanabe-Arisa Higashino, dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia dari 2 hingga 7 April ini.
Meskipun bakal memulakan langkah awal yang sukar, Pei Jing optimis mampu meraih kemenangan dalam pusingan pertama ketika berdepan gandingan Jepun itu.
Sebelum ini, Pei Jing bersama gandingannya, Tan Kian Meng, pernah menewaskan wakil Jepun itu dalam Piala Sudirman 2017 di Gold Coast, Australia.
Iklan
"Kami memang nak sangat jumpa mereka tetapi kami sedar mereka mempamerkan banyak peningkatan dalam tempoh dua tahun ini.
"Mereka sudah memenangi Seluruh England 2019 dan beberapa kali memenangi gelaran Siri Super.
"Jadi, saya teruja untuk melihat sejauh mata tahap prestasi mereka," kata Pei Jing.
Pemain berusia 27 tahun itu mengakui bahawa dia perlu menggandakan usaha bagi memburu kejuaraan pertama tahun ini selain memperbaiki ranking mereka yang kini di kedudukan ke-37 dunia.
Dalam pada itu, Pei Jing turut ingin menebus kekecewaan tersingkir dalam pusingan pertama Masters Malaysia, Januari lalu.
"Undian kami tidak begitu baik memandangkan perlu berdepan pilihan ketiga seawal pusingan pertama, justeru saya tidak menetapkan sebaran sasaran.
"Kami mahu mencapai kemenangan terlebih dahulu kerana masih gagal melepasi pusingan pertama sepanjang kempen 2019," katanya.
Must-Watch Video