Skip to main content

Badminton

Terbuka Malaysia: BAM ubah pendekatan latihan

norza-zakaria.jpg
Pemain muda yang besar kepala tiada tempat dalam program latihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) sambil badan induk itu mula mencongak strategi untuk memastikan kelayakan wakil negara ke Sukan Olimpik Tokyo 2020.

BAM pernah menghadapi situasi pemain menggunakan pengaruh sebagai tonggak untuk memperoleh kemahuan peribadi dalam kem kebangsaan.

Ini yang mahu dielakkan BAM tatkala pemain muda seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, dan beregu lelaki, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, diberikan segala kelebihan untuk memacu misi negara.

"Perkara pertama yang perlu kita tahu, di mana-mana pelosok dunia sekalipun, semua orang boleh ditukar ganti, termasuklah kedudukan saya, pemain serta jurulatih. 

"Inilah hakikatnya, lebih cepat mereka sedar tentang perkara ini, lebih baik buat mereka sendiri.

"Pemain perlu faham, jurulatih akan sentiasa mencabar pemain supaya melangkaui kemampuan mereka yang menjadikan mereka berasa tidak selesa. 

"Jurulatih berada di sini untuk memberitahu pemain apakah yang perlu dilakukan, bukannya apa yang mereka mahu dengar," kata Pengarah Kejurulatihan BAM, Wong Choong Hann. 

Dalam perkembangan sama, Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, menegaskan pemain profesional seperti beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, perlu layak ke Sukan Olimpik Tokyo 2020 terlebih dahulu sebelum menikmati bantuan tambahan dalam kejohanan.

Ini selepas Peng Soon menyuarakan pandangan bahawa tanpa sokongan yang hanya ekslusif kepada pemain kebangsaan, sukar untuk mereka mengekalkan prestasi dalam kejohanan yang menawarkan mata kelayakan ke Sukan Olimpik yang bermula 29 April ini.

"Sesiapa sahaja yang layak Sukan Olimpik 2020, kami akan tempatkan mereka dalam satu kem yang akan memberikan mereka segala kemudahan. 

"Ini sebahagian daripada persetujuan kami dengan pemain yang mahu beralih ke profesional," jelas Norza. 

Sementara itu, BAM bercadang untuk mengubah struktur latihan skuad kebangsaan kepada modul yang lebih agresif.

Cadangan awal adalah dengan menambah satu lagi sesi latihan kepada dua yang sedia setiap hari untuk bersaing dengan seteru lain.

"Kami mahu memberi peluang kepada pemain untuk menyertai kejohanan utama. 

"Saya telah memberitahu Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (CNT), Datuk Ng Chin Chai, kerana dalam kita menghadapi kelayakan Sukan Olimpik 2020, kami tidak boleh teruskan pendekatan lazim. 

"Modul latihan kami perlu diubah.

"Kalau sebelum ini kami mengadakan dua sesi latihan, selepas ini mungkin lebih daripada itu, contohnya tiga sesi dalam sehari," kata Norza. 
 

Advertisement

Must Watch Video