Perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia tiada masalah untuk melayakkan diri ke pusingan kedua Kejohanan Badminton Terbuka Indonesia BWF dengan sekali lagi menumbangkan jaguh Hong Kong, Angus Ng Ka Long, di Istora Senayan, Jakarta sebentar tadi.
Zii Jia pada satu ketika ketinggalan 9-13 kepada lawan itu tetapi dia kemudian mempamerkan aksi lebih garang dengan serangan bertali arus, termasuk dengan meraih empat mata terakhir untuk memenangi set pertama 21-17.
Aksi lebih mudah dilaluinya dalam set kedua, di mana Zii Jia tidak pernah ketinggalan sejak meraih mata pertama sebelum menamatkan pertarungan itu dengan kemenangan 21-16 selepas secara keseluruhan bertarung selama 40 minit.
Sebagai rekod, ia merupakan kali ketiga berturut-turut Zii Jia mengatasi Angus Ng selepas menumbangkan lawan itu dalam final Terbuka Thailand dan separuh akhir Masters Malaysia sebelum ini.
Dia seterusnya akan menantikan pemenang di antara perseorangan India, Kiran George, dan wakil China, Weng Hong Yang, bagi penentuan ke suku akhir esok.
Muzaffar Musa
Tue Jun 04 2024