Terbuka Australia: Lai Pei Jing lolos dua kategori separuh akhir


Perang saudara di antara dua gandingan beregu campuran negara, Tan Kian Meng-Lai Pei Jing dan Choong Hon Jian-Go Pei Kee.

Set pertama menjadi saksi kepada dominasi gandingan senior yang lebih tangkas menangkis serangan Hon Jian-Pei Kee yang seakan-akan belum panas badan untuk menamatkan set dengan 21-15.

Bagaimanapun, gandingan muda itu cuba bangkit dalam set kedua dengan memperkemaskan serangan mendahului dengan 8-4.

Serangan bertali arus saling dilancarkan kedua-dua gandingan menjadikan set kedua semakin sengit dengan harapan Hon Jian -Pei Kee mampu membawa perlawanan ke set penentuan.





Jelas rekod di atas kertas memihak kepada Kian Meng-Pei Jing selepas mengekalkan benteng ampuh, menoktahkan kemenangan dengan 21-15, 23-21.

Dalam masa sama, Lai Pei Jing turun pula bergandingan di samping Lim Chiew Sien dalam beregu wanita untuk menumbangkan Polina Buhrova-Yevheniia Kantemyr 21-17, 21-19.