Skip to main content

Badminton

Sukan Asia: Momota intai kejuaraan

momota.jpg
Selepas mencipta sejarah meraih gelaran juara dalam Kejohanan Badminton Dunia 2018, perseorangan lelaki Jepun, Kento Momota, kini memburu satu lagi rekod kejuaraan untuk menjadi pemain Jepun pertama meraih pingat emas acara perseorangan lelaki dalam Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini. 

Momota tidak memerlukan masa yang lama untuk menawan dunia. Selepas hanya dua tahun kembali daripada penggantungan gara-gara terlibat dengan isu perjudian pada 2016, dia sudah dinobatkan sebagai juara dunia dengan menumbangkan wakil China, Shi Yuqi, dalam aksi straight set, 21-12, 21-19 semalam. 

Lebih manis, Momota muncul rakyat Jepun pertama dalam acara perseorangan lelaki untuk meraih gelaran tersebut sejak 1977 dan dia semakin bernafsu untuk menambah koleksi kejuaraan.

Impiannya kini adalah untuk cuba meletakkan dirinya sebagai ikon baru badminton dunia yang sebelum ini dipelopori Viktor Axelsen, Chen Long, Lin Dan mahupun jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

"Ia merupakan satu perjalanan yang cukup sukar untuk muncul juara dunia, bagaikan satu mimpi jadi kenyataan.

"Pada masa akan datang, saya harap mampu mencapai apa yang pemain bintang lain sudah lakukan," katanya di venue kejohanan di Nanjing, China. 

Momota dijangka akan terus mendominasi saingan badminton dunia dalam acara perseorangan lelaki dengan destinasinya selepas ini untuk melakar satu lagi rekod, muncul pemain Jepun sulung menawan Sukan Asia.

Ini merupakan kejayaan kedua Momota selepas dia meraih emas dalam Kejohanan Badminton Asia di Wuhan, China, April lalu.

"Semua pemain juga mengimpikan perkara yang sama, memenangi emas.

"Saya ada tempoh dua minggu untuk berehat dan kembali berlatih. Diharap tuah akan sekali lagi memihak saya," katanya lagi. 

Advertisement

Must Watch Video