Skip to main content

Badminton

Sukan Asia: Kekuatan mental jadi keutamaan beregu campuran

pang-cheng-chah.jpg
Hanya berbaki kurang dua minggu sebelum bermulanya Sukan Asia Indonesia, perkara utama yang jurulatih beregu campuran negara, Pang Cheh Chang, perlu perbetulkan adalah kekuatan mental dan kawalan emosi barisan pemainnya yang dilihat ketara kekurangan dalam Kejohanan Badminton Dunia, minggu lalu.

Shevon Jemie Lai-Goh Soon Huat gagal menepati ramalan Cheh Chang untuk mara ke pusingan suku akhir.

Lebih perit, mereka gagal mengatasi lawan sama dari India, Ashwini Ponnappa-Satwiksairaj Rankireddy, selepas kali terakhir bertemu dalam final Sukan Komanwel Gold Coast, April lalu.

Kelemahan pemainnya kini bukanlah daripada aspek kemampuan individu mahupun strategi permainan, sebaliknya mental barisan pemainnya yang tidak dapat menyerap tekanan ketika saat genting menjadi keutamaan.

Justeru, dia berharap Kejohanan Dunia kali ini membawa pengajaran berguna buat barisan pemain, khususnya yang akan ke Sukan Asia Indonesia dari 18 Ogos hingga 2 September ini. 

"Memang ada usaha yang dilakukan untuk mengembalikan prestasi mereka. Inilah kejohanan yang boleh menguji mereka untuk menghadapi tahap situasi getir seperti itu. 

"Ia mengenai bagaimana mereka mengawal kekuatan mental mereka," ujar Cheh Chang. 

Hanya dua beregu akan dibawa ke Sukan Asia Indonesia, iaitu Chan Peng Soon-Goh Liu Ying serta Soon Huat-Shevon Jemie.

Tugasan tambahan buat Cheh Chang termasuk menyediakan pemain yang serasi dengan Peng Soon seandainya Liu Ying tidak dapat beraksi akibat kecederaan tendon achilles kaki kiri.

"Bagi saya, ketika ini saya hanya perlu menyenaraikan pasangan yang secocok dengan Peng Soon sahaja.

"Yang penting, pemain itu ada dalam senarai. 

"Cuma, adakah pemain yang terpilih nanti mampu mengawal situasi ini,"tambahnya.
 

Advertisement

Must Watch Video