Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seu Bock redakan kebimbangan kem perseorangan wanita

tey-seu-bock.jpg
Ketua jurulatih perseorangan wanita negara, Datuk Tey Seu Bock, tidak gusar dengan belenggu yang membabitkan Goh Jin Wei serta krisis prestasi yang melanda seorang lagi wakil Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dalam Kejohanan Badminton Terbuka Malaysia, Soniia Cheah.

Seu Bock berpandangan keputusan untuk memberi lampu hijau kepada Jin Wei beraksi dalam Terbuka Malaysia dari 2-7 April ini tidak mengundang bahaya kepada fizikal anak buahnya itu.

Malah, dia berasakan ini pengalaman berharga buat Jin Wei dalam membentuk kematangan sebagai pemain elit.

"Dia ditimpa masalah hamstring selepas mengikuti Terbuka Jerman dan Seluruh England 2019 bulan lalu sehingga menyebabkannya terpaksa berehat selama seminggu. 

"Selepas itu, keadaan fizikal tidak mengizinkannya untuk turun berlatih dan dia hanya sempat menjalani persiapan menghadapi Terbuka Malaysia selama seminggu. 

"Inilah proses yang dia perlu belajar. Bukan mudah untuk menjadi pemain terbilang tetapi pada masa muda inilah dia perlu belajar untuk mengatasi perkara-perkara yang dia tidak selesa," jelas Seu Bock. 

Sementara itu, Seu Bock terus menaruh keyakinan kepada Soniia untuk menterjemahkan prestasi baik ketika latihan ke medan kompetitif pula.

Musim ini menyaksikan Soniia tersingkir seawal pusingan pertama dalam keempat-empat kejohanan yang disertainya, termasuk Seluruh England 2019.

"Ketika ini, dia mungkin terlalu menginginkan kemenangan dan tidak boleh menerima kekalahan. 

"Saya menasihatinya agar lebih tenang. Anggaplah pentas kejohanan seperti ketika menjalani sesi latihan kerana dia boleh beraksi baik ketika berlatih. 

"Lambat-laun, dia pasti akan dapat mengatasi masalah ini," katanya lagi. 

 

Advertisement

Must Watch Video