BADMINTON
Seluruh England: Zii Jia, Arif masih letak harapan
Pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, serta pasangan beregu profesional lelaki, Mohd Arif Latif dan Nur Azryn Ayub, masih menaruh harapan tinggi untuk beraksi buat julung kali dalam Terbuka Seluruh England musim ini biarpun peluang sangat tipis.
Zii Jia, Arif dan Azryn baru sahaja tiba di Birmingham semalam selepas menamatkan kempen dalam Terbuka Jerman minggu lalu.
Mereka bertiga berada dalam senarai simpanan dan perlu menanti sehingga hari ini ketika mesyuarat pengurus untuk mengetahui sama ada terdapat pemain lain yang menarik diri pada saat-saat akhir bagi membolehkan mereka beraksi.
Iklan
Zii Jia mengidamkan untuk beraksi buat kali pertama di pentas Seluruh England sementara buat Arif, meskipun dia sudah tampil dua kali dalam kejohanan itu ketika bergelar pemain perseorangan, ia bakal menjadi penampilan pertama sebagai pemain beregu lelaki dengan Azryn jika penyertaannya diterima.
"Tengok kepada nasib. Jika tiada, saya hanya akan melakukan persiapan untuk Terbuka Switzerland. Kalau ada, saya akan gunakan peluang itu," kata Zii Jia.
"Untuk saya, harapan tinggi diletakkan. Ini adalah kali pertama saya dan Azryn digandingkan dalam beregu lelaki untuk ke Seluruh England. Kami harap dapat beraksi," tambah Arif.
"Dua atau tiga hari lalu, kami dengar satu atau dua pasangan akan menarik diri. Jika ia berlaku, peluang untuk kami beraksi itu cerah."
Bagaimanapun, jika perkara sebaliknya berlaku, Azryn dan Arif akan terus ke Basel sementara Zii Jia akan tetap berada di Birmingham dan berlatih bersama jurulatihnya, Datuk Misbun Sidek, sebagai persiapan menghadapi Terbuka Switzerland yang bermula 12 Mac ini.
Must-Watch Video