Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Wakil beregu intai peluang ke separuh akhir

v-shem-wee-k.jpg
Pemain beregu lelaki profesional, Goh V Shem dan Tan Wee Kiong, serta beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai, kini merupakan harapan Malaysia untuk terus mengibarkan cabaran dalam Kejohanan Badminton Seluruh England apabila masing-masing akan berentap di peringkat suku akhir hari ini.

Tiada istilah mudah buat V Shem dan Wee Kiong biarpun mereka baru sahaja menyingkirkan pilihan keempat kejohanan, Hiroyuki Endo dan Yuta Watanabe, dalam pusingan kedua dan kini bakal berentap dengan pilihan kelapan, Fajar Alfian dan Muhammad Rian Ardianto dari Indonesia

Bagaimanapun, bagi V Shem dan Wee Kiong, biarpun sudah mencapai sasaran dalam Seluruh England kali ini dengan mara ke suku akhir seperti ditetapkan, ia tidak bermakna mereka akan memberi ruang mudah buat Fajar dan Rian Ardianto.

Apatah lagi, V Shem dan Wee Kiong menyimpan dendam untuk membalas kekecewaan mereka ketika Kejohanan Masters Malaysia awal Januari lalu apabila tumpas kepada Fajar dan Rian Ardianton di pentas final.

"Sasaran sudah dicapai tetapi kami tidak boleh berhenti. Momentum perlu dikekalkan," kata V Shem.

"Memang mereka pemenang pingat perak Sukan Asia yang lalu dan kini berada di prestasi terbaik, namun kami akan cuba menang," tambah Wee Kiong. 

Satu lagi wakil negara, Soon Huat dan Shevon, juga meletakkan diri mereka sebagai gandingan bukan pilihan apabila bakal menentang Wang Yilyu-Huang Doping dari China yang juga merupakan pilihan kedua kejohanan.

Kemenangan ke atas pasangan tuan rumah, Marcus Ellis dan Lauren Smith, dalam pusingan kedua memberi motivasi buat Soon Huat dan Shevon, apatah lagi perjalanan mereka tahun lalu terhenti seawal pusingan pertama.

"Mereka pilihan kedua dan berada di kedudukan ranking lebih tinggi. Namun, bagi saya, kami sudah menghadapi cabaran yang baru dan mengatasinya," ujar Shevon.
 

Advertisement

Must Watch Video