Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Soon-Huat-Shevon ke suku akhir

goh-soon-huat-shevon-lai.jpg
Pasangan beregu campuran negara, Goh Soon Huat-Shevon Lai, mencipta kejutan dalam Kejohanan Badminton Seluruh England selepas menewaskan gandingan tuan rumah, Marcus Elis-Lauren Smith, dalam aksi pusingan kedua di Arena Birmingham, awal pagi tadi. 

Soon Huat-Shevon berdepan ujian getir selepas menjadi wakil tunggal negara dalam acara itu selepas penyingkiran Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dalam pusingan sama.

Bagaimanapun, Soon Huat-Shevon membuktikan mereka mampu untuk menjadi sandaran negara biarpun Elis-Smith mendapat sokongan padu penyokong tuan rumah.

Aksi dalam set pertama jelas milik pasangan negara itu sebelum merakamkan kemenangan 21-15.

Perlawanan penuh sengit dapat disaksikan dalam set kedua yang menuntut Soon Huat-Shevon mengerah segala keringat yang ada sebelum menang 26-24 untuk ke suku akhir.

"Saya amat teruja untuk menewaskan gandingan tuan rumah yang mendapat sokongan padu penyokong mereka.

"Kami bukan hanya menewaskan mereka sahaja tetapi seluruh penyokong mereka di arena ini juga," kata Shevon.

Bagaimanapun, perseorangan profesional negara, Liew Daren, terpaksa bertarung dengan kesakitan di kaki kanan ketika berdepan juara bertahan dari China, Shi Yuqi.

Kecederaan itu memaksa Daren akur tewas 21-8, 21-10.

"Saya mengalami kesakitan sejak sebelum perlawanan bermula lagi.

"Saya sudah mencuba untuk memberikan yang terbaik tetapi gagal menandingi kepantasannya," katanya.

Pasangan beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, pula mengejutkan pilihan kelima kejohanan, Kim Astrup- Anders Skaarup Rassmusen, dengan kemenangan 21-19, 21-16.

"Dua kemenangan pertama ini memberikan kami lebih keyakinan.

"Kami hanya fokus kepada perlawanan dan meningkatkan keyakinan sebelum menewaskan mereka," kata Aaron.

Advertisement

Must Watch Video