Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Soon Huat-Shevon timba pengalaman berguna

allengland.jpg
Meskipun impian untuk mara final Seluruh England buat kali pertama tidak kesampaian buat pasangan beregu campuran, Goh Soon Huat dan Shevon Lai Jemie, mereka telah menimba pelajaran berguna dalam usaha berada dalam kalangan 10 gandingan campuran terbaik dunia.

Soon Huat dan Shevon kini menghuni tangga ke-14 dunia, dengan pengalaman sepanjang kempen Seluruh England 2019 banyak membantu mereka untuk berdepan barisan pemain terbaik dunia dalam usaha untuk memecah ke kelompok 10 terbaik.

Setakat ini, hanya pasangan profesional, Chan Peng Soon dan Goh Liu Ying, berada dalam kedudukan itu dengan selesa di tangga kelima dunia.

Prestasi mereka dalam Seluruh England memberikan petanda postif apabila menyingkirkan gandingan ketujuh dunia dari England, Marcus Ellis-Lauren Smith, dalam pusingan kedua dan mengejutkan naib juara dunia 2018, Wang Yilyu-Huang Dongping, dalam suku akhir.

"Kejohanan ini menampilkan pemain-pemain terbaik dunia. Ia adalah pengalaman yang berguna buat kami untuk meningkatkan lagi mutu permainan," kata Shevon.

Dalam masa sama, pencapaian mara ke separuh akhir Seluruh England 2019 menjadi pemangkin mereka untuk terus berusaha mendapatkan kejayaan, khususnya apabila Terbuka Malaysia bakal membuka tirai 2 April ini.

"Kami tersingkir daripada Seluruh England tetapi banyak perkara yang dipelajari untuk kami membuat persiapan menghadapi Terbuka Malaysia," kata Soon Huat.

Advertisement

Must Watch Video