BADMINTON
Seluruh England: Impian Zii Jia, beregu lelaki lebur
Impian untuk melihat pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia, beraksi buat kali pertama dalam saingan Seluruh England serta penampilan pasangan beregu lelaki profesional, Arif Latif dan Azryn Ayub, tidak kesampaian.
Ini berikutan tiada pemain dari negara lain menarik diri pada saat-saat akhir ketika mesyuarat pengurus kontinjen semalam.
Ketiga-tiga pemain itu berada dalam senarai simpanan dan perlu menanti sehingga mesyuarat pengurus semalam untuk mengetahui sama ada terdapat pemain lain yang menarik diri pada saat-saat akhir bagi membolehkan mereka beraksi.
Iklan
Zii Jia mengidamkan untuk beraksi buat kali pertama di pentas Seluruh England sementara buat Arif, meskipun dia sudah tampil dua kali dalam kejohanan itu ketika bergelar pemain perseorangan, ia bakal menjadi penampilan pertamanya sebagai pemain beregu lelaki dengan Azryn jika penyertaannya diterima.
Namun, mesyuarat pengurus pasukan menyaksikan tiada penarikan diri daripada mana-mana pemain, sekali gus meranapkan impian Zii Jia serta beregu lelaki profesional itu.
Pengarah Kejurulatihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM), Wong Choong Hann, yang turut bertindak selaku pengurus pasukan negara di England, mengakui sedikit kecewa melihat Zii Jia tidak dapat melakukan penampilan dalam edisi kali ini memandangkan pemain berusia 20 tahun itu mempamerkan peningkatan prestasi dalam beberapa bulan terakhir.
"Malang sekali tiada sesiapa yang menarik diri. Jadi, walaupun Zii Jia merupakan pemain simpanan nombor satu, dia tidak berpeluang untuk beraksi kali ini. Begitu juga dengan beregu lelaki," katanya.
"Saya rasa peningkatan daripada Zii Jia sejak beberapa bulan lalu sangat memberangsangkan dan saya percaya jika dia akan teruskan kesungguhan di bawah kendalian Datuk Misbun Sidek tidak kira daripada segi teknikal dan taktikal, dia akan beraksi dalam edisi 2020."
Must-Watch Video