BADMINTON
Seluruh England: Harapan tunggal negara tidak kesampaian
Tiada wakil negara di pentas akhir Kejohanan Seluruh England apabila cabaran tunggal yang digalas Lee Zii Jia dalam separuh akhir lebur sebentar tadi.
Dalam pertemuan tiga set di Utilita Arena Birmingham itu, Zii Jia yang turun selaku juara bertahan dikejutkan 13-21 oleh pemenang pingat gangsa Kejohanan Dunia dari India tersebut dalam set pertama.
Pemain profesional negara itu kemudian memperkemaskan permainannya dalam set seterusnya sebagaimana ketika menyingkirkan Kento Momota semalam untuk ke set penentuan apabila menang 21-12.
Iklan
Tetapi pertarungan sengit dalam set ketiga menyaksikan Lakshya menonjolkan kekentalan pertahanannya.
Strategi itu akhirnya memberi pulangan kepadanya apabila mula mengutip mata untuk mengejar kedudukan di pertengahan set sebelum menamatkan perlawanan 21-19 dalam tempoh 1 jam 16 minit.
"Tadi merupakan satu perlawanan yang sengit tapi agak bazir sebab dalam set penentuan tadi saya dah mendahului 16-12.
"Kami perlu perhalusi (kejadian ini), mungkin (ia membabitkan faktor) fokus.
"Apabila bermain dengan mereka saya perlu bersabar sedikit. Permainan kami agak sama, kami banyak bermain di jaring tapi dalam beberapa mata terakhir dia nampak lebih berani," katanya selepas perlawanan.
Begitupun, dia masih berpuas hati dengan perkembangan prestasinya sejak awal tahun ini.
"Ia tidak begitu buruk," katanya lagi yang bercadang menyertai Terbuka Korea Selatan, awal bulan depan.
Must-Watch Video