Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Daren cari jalan kecewakan Yuqi

liew-daren.jpg
Perseorangan lelaki profesional, Liew Daren, perlu menggunakan segala kudrat untuk memastikan dirinya terus mengibarkan cabaran tunggal negara dalam acara perseorangan lelaki Kejohanan Badminton Seluruh England 2019 biarpun kakinya masih belum pulih sepenuhnya.

Daren akan berdepan dengan juara bertahan, Shi Yuqi, dalam pusingan kedua, hari ini. 

Rekod pertarungan menyaksikan Daren mengejutkan jaguh China itu di peringkat suku akhir Kejohanan Masters Malaysia awal Januari lalu.

Namun, ia pastinya aksi yang berbeza menjelang pusingan kedua hari ini memandangkan Daren masih lagi berhati-hati dalam rentak permainannya ekoran baru sahaja pulih daripada kecederaan kaki.

"Saya jangkakan pertemuan kali ini lebih sukar memandangkan ketika saya menewaskannya dalam Terbuka Malaysia yang lalu dipengaruhi faktor angin. 

"Saya perlu kaji pertarungan itu untuk mencari jalan bagi mengatasinya, lebih-lebih lagi dia merupakan penyandang juara," kata Daren.

Perkara itu juga boleh dilihat apabila Daren beberapa kali terpaksa membetulkan keadaan kasutnya gara-gara masih tidak selesa ketika dalam pusingan pertama menentang waki Thailand, Suppanyu Avihingsanon.

Biarpun masih belum menampilkan aksi terbaik, Daren mudah untuk menewaskan lawan itu 21-13, 21-17.

"Setakat ini saya berasa baik, cuma saya masih berasa sedikit fobia dengan kecederaan ini. 

"Apapun, pendaratan saya hari ini tidak lagi dibelenggu kesakitan," ujarnya. 

Advertisement

Must Watch Video