Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: BAM lega atlet negara menyerlah

norza-zakaria.jpg
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) mampu menarik nafas lega setelah barisan pemain di bawah naungannya menidakkan ramalan untuk pulang awal daripada Kejohanan Badminton Seluruh England, sekali gus membuktikan mereka mampu untuk mengisi kekosongan yang ditinggalkan jaguh perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei.

Malaysia hadir ke Kejohanan Seluruh England tanpa sandaran utama, Chong Wei, yang masih belum cergas sepenuhnya susulan rawatan barah hidung.

Tatkala ramai meramalkan pasangan profesional seperti beregu lelaki, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, dan beregu campuran, Chan Peng Soon-Goh Liu Ying, bakal menjadi sandaran utama negara dalam edisi kali ini, Aaron Chia-Soh Wooi Yik mempamerkan prestasi memukau untuk ke final.

Beregu campuran di bawah naungan BAM, Goh Soon huat-Shevon Lai, turut mencipta kejutan selepas mara ke separuh akhir.

Biarpun gagal membawa pulang sebarang gelaran dari Birmingham, aksi konsisten yang dipamerkan pemain di bawah naungan badan induk itu sudah mula menampakkan hasil.

"Ia menunjukkan ada persaingan sihat di antara pemain profesional dan pemain di bawah naungan BAM.

"Kita dapat melihat pemain-pemain muda menyerlah walaupun mereka sebelum ini kerap dibayangi pemain senior yang bertaraf Sukan Olimpik.

"Tahun 2019 merupakan tahun untuk menuai hasil selepas kerja keras yang dilakukan kami selama ini," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria

Biarpun beberapa pemain negara mempamerkan aksi positif dalam edisi kali ini, Norza tetap mengakui ketiadaan Chong Wei -- yang memegang empat gelaran Seluruh England -- tetap dirasai.

"Ketiadaan Chong Wei amat dirasai, terutama peminat badminton negara.

"Bagaimanapun, kami memahami keadaannya dan mahukan dia menumpukan kepada proses pemulihan.

"Saya percaya dengan kekuatan mental dan semangat yang dimiliki, Chong Wei pasti akan menyertai kejohanan ini tahun depan," tambahnya.

Advertisement

Must Watch Video