Skip to main content

Advertisement

Badminton

Seluruh England: Aaron-Wooi Yik singkir beregu pilihan China

aaron-chia-soh-wooi-yik.jpg
Beregu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik, melakar kejutan apabila menyingkirkan gandingan berpengalaman dari China untuk mara ke separuh akhir Kejohanan Badminton Seluruh England 2019 di Birmingham.

Turun dengan status pasangan ‘underdog’, Aaron-Wooi Yik, tidak dibebani tekanan, malah mempamerkan aksi menyakinkan berdepan Liu Cheng-Zhang Nan dalam aksi suku akhir di Arena Birmingham, awal pagi tadi. 

Dalam set pertama, Aaron-Wooi Yik tidak jemu melakukan serangan dan bijak mengawal gelanggang sehingga gandingan China tersebut seperti buntu mencari mata, sekali gus memberikan kemenangan 21-19 buat beregu Malaysia.

Beregu China itu bangkit dalam set kedua dengan kemenangan 21-17 untuk mengheret perlawanan ke set penentuan.

Tersentak dengan kebangkitan Liu Cheng-Zhang Nan dalam set kedua, Aaron-Wooi Yik kembali konsisten dan meminimumkan kesilapan yang membolehkan mereka melengkapkan kemenangan 21-12.

Aaron-Wooi Yik, yang pernah mencipta kejutan mara ke separuh akhir Kejohanan Dunia 2018, bakal berdepan pasangan Indonesia, Fajar Alfian-Muhammad Rian Ardianto, dalam pertembungan separuh akhir, awal pagi esok. 

Sementara itu, jurulatih beregu lelaki negara, Paulus Firman, memuji anak buahnya yang tidak berputus asa ketika tewas dalam set kedua, sebaliknya cepat mengawal permainan dalam set penentuan.

“Mereka bermain bagus dengan strategi yang betul, lebih berinisiatif melakukan serangan awal. Hanya dalam pertarungan kedua, iaitu dalam enam mata terakhir, pertahanan lawan utuh dan susah untuk mematikan gerakan lawan selain Aaron-Wooi Yik sendiri yang bersikap kurang sabar.

“Tapi mereka bagus. Mereka bangkit dalam perlawanan yang ketiga,” katanya ketika dihubungi Bernama.

Mengenai lawan yang akan dihadapi mereka, Paulus berkata Aaron-Wooi Yik hanya perlu kekal fokus dan tidak boleh berasa selesa selepas mara ke separuh akhir.

Gandingan muda negara itu perlu terus ‘garang’ ketika di gelanggang walaupun sedar lawan yang ditentang bukan calang-calang.

“Pihak lawan mempunyai ranking lebih tinggi dan juga merupakan (pemenang pingat) perak Sukan Asia 2018.

“Esok mereka perlu bermain dengan berani saja. Mereka tetap jaga fokus, jangan berasa sudah berpuas hati dan sudah mara separuh akhir. Mereka harus tetap 'lapar' mahukan yang lebih (kejayaan),” katanya.

Terdahulu, Fajar-Muhammad Rian mengetepikan satu lagi beregu negara yang kini berstatus profesional, Goh V Shem-Tan Wee Kiong, 22-20, 21-12 dalam satu lagi perlawanan suku akhir.

-- BERNAMA

Advertisement

Must Watch Video