Kejayaan menjuarai dua gelaran beturut-turut dalam tempoh seminggu dianggap penamat terbaik buat beregu muda lelaki negara, Choong Hon Jian-Muhammad Haikal Nazri pada musim 2023.
Selepas merangkul kejuaraan Antarabangsa India Syed Modi di Lukcnow minggu lalu, Hon Jian-Haikal sekali lagi mencipta sensasi di bumi India apabila menjuarai Masters Guwahati di Assam pada Ahad.
Bagi Haikal, dia menyifatkan gelaran berganda - masing-masing pada kejohanan Jelalah Dunia Super 300 dan 100 itu sebagai permulaan yang baik bagi mengharungi kalendar musim 2024.
“Syukur alhamdulillah dengan gelaran ini. Saya cukup gembira dapat mengekalkan prestasi kerana bukan mudah dapat merangkul kejuaraan berturut-turut.
“Sebab biasanya saya dan rakan gandingan (sebelum ini), akan kalah awal selepas menjuarai sesuatu kejohanan. Kali ini alhamdulillah, rezeki (menang) back to back.
“Apapun ini bukanlah pengakhiran... ini adalah permulaan bagi menghadapi (saingan) tahun depan. Ini adalah keputusan baik untuk menutup (tahun) 2023,” katanya.
Dalam aksi final Masters Guwahati di Kompleks Sukan Tertutup Saru Sajai, Assam, Hon Jian-Haikal yang menduduki ranking ke-69 dunia menundukkan beregu Taiwan, Lin Bing Wei-Su Ching Heng 21-17, 23-21.
Minggu lalu, Hon Jian-Haikal muncul juara Antarabangsa India Syed Modi selepas mengejutkan gandingan ke-16 dunia dari Jepun, Akira Koga-Taichi Sato 18-21, 21-18, 21-16 di pentas final.
“Aksi final kali ini (Masters Guwati) lebih berdebar berbanding final (Antarabangsa India Syed Modi) minggu lalu. Mungkin sebab kami cuba untuk memenangi gelaran kedua.
“Kami saling kejar mengejar mata... memang agak berdebar. Set kedua pula, kami berdepan dengan angin, jadi agak sukar bermain seperti biasa,” jelas Haikal.
Secara keseluruhan, Hon Jian-Haikal kini sudah merekodkan dua gelaran juara dalam tempoh tiga bulan selain muncul naib juara Masters Indonesia II sejak mereka digandingkan.-Sinar Harian
Ammar Hakim
Tue Dec 12 2023