Skip to main content

Badminton

Piala Thomas: Jurulatih, pemain diberi lebih masa bukti kredibiliti

norza-zakaria.jpg
Pembentukan skuad Piala Thomas 2020 negara akan bersandarkan kepada kepentingan negara dengan menjanjikan piala kemenangan pada 2024.

Dalam masa yang sama, jurulatih dan pemain kebangsaan yang tidak menonjolkan prestasi memuaskan akan diberikan ruang untuk mengubah nasib mereka sebelum penilaian 30 April depan.

Penilaian prestasi terakhir Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan (C&T) pada hujung bulan lalu menyaksikan tujuh pemain senior ditunjukkan jalan keluar.

Jawatankuasa C&T juga mengenal pasti keperluan untuk merombak barisan kejurulatihan perseorangan serta beregu wanita yang diketuai Datuk Tey Seu Bock dan Rosman Razak.

Majlis BAM yang bersidang buat kali pertama bagi musim 2020 hari ini, bagaimanapun, menegaskan pemain dan jurulatih akan diberikan peluang dan penilaian yang adil.

"Kalau kami (BAM) kekurangan barisan pelapis, kami perlu fokus kepada program akar umbi. 

"Di peringkat senior, mungkin dengan cara membawa masuk jurulatih yang mempunyai nama besar selain turut bertindak sebagai pemimpin dalam pasukan, mampu menyelesaikan masalah. 

"Barisan jurulatih sedia ada faham tentang situasi yang dihadapi ketika ini. Saya telah jelaskan kepada Tey Seu Bock dan Rosman Razak tentang kedudukan dan prestasi pemain di bawah seliaan mereka. 

"Mereka faham keadaan ini dan berjanji untuk membuktikannya kepada BAM. Kami akan berikan masa kepada mereka," kata Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria, yang ditemui dalam Kejohanan Masters Malaysia di Arena Axiata hari ini. 

Dalam pada itu, pelantikan seorang pengarah teknikal skuad remaja seiring dengan pelancaran program pembangunan baru akan dilaksanakan dalam masa terdekat.

Dasar BAM adalah untuk meremajakan skuad negara dengan barisan senior kini berwajahkan pemain muda seperti perseorangan lelaki, Lee Zii Jia, yang berusia 21 tahun.

Bagaimanapun, badan induk itu akur bahawa Piala Thomas merupakan agenda negara yang memerlukan kudrat pemain berpengalaman untuk mewakili Malaysia.

Beregu lelaki misalnya menyaksikan kem profesional memiliki dua beregu berpengalaman selepas gandingan terbaik kebangsaan, Aaron Chia dan Soh Wooi Yik.

Kempen Piala Thomas dan Piala Uber 2020 akan bermula dengan kelayakan peringkat benua bulan depan manakala pusingan akhirnya akan berlangsung di Aarhus, Denmark, Mei depan. 

"Keputusan melepaskan pemain yang membabitkan Chan Peng Soon-Goh Liu Ying dan Goh V Shem-Tan Wee Kiong dibuat atas persetujuan kedua-dua belah pihak untuk membolehkan kami menjalankan dua 'enjin' daripada segi perkembangan badminton, iaitu menerusi profesional dan di bawah BAM. 

"Kami beri peluang kepada pemain muda bawah 23 tahun untuk mencapai impian mereka dan pemain terbaik perlu mewakili negara. 

"Walaupun mereka kini bergerak secara profesional, mereka masih lagi merupakan pemain kebangsaan kita," katanya lagi.




Editor: Shaiful Shamsudin 
 

Advertisement

Must Watch Video