Skip to main content

Badminton

Piala Thomas: Iskandar elak 'badi' perseorangan ketiga

iskandar-zulkarnain_4.jpg
Pemain perseorangan negara, Iskandar Zulkarnain Zainuddin, tidak mahu terperangkap dengan status sebagai perseorangan ketiga negara andai dia menjadi pilihan dalam Piala Thomas di Bangkok, Mei depan. 

Menjadi pemain perseorangan ketiga mendatangkan cabaran tersendiri, apatah lagi ia merupakan peluang terakhir untuk memperolehi mata kemenangan. 

Berdasarkan dua edisi Piala Thomas sebelum ini, Iskandar ingin mengelak situasi sama berulang seperti yang menimpa Liew Daren dan Chong Wei Feng. 

Kempen dalam temasya New Delhi 2014 menyaksikan Malaysia tewas dalam final selepas Daren gagal merakamkan mata kemenangan ketika berdepan Jepun. 

Sementara itu, dua tahun lalu, cabaran negara disekat Denmark dalam separuh akhir apabila Wei Feng kecundang kepada Emil Holst. 

"Kalau diberi peluang, ia satu cabaran besar.

"Saya harap tahun ini saya dapat beraksi lebih tenang di bawah bimbingan Datuk Misbuk Sidek serta kaedah psikologi yang diterapkan. 

"Setakat ini, kami berlatih dengan baik sekali. Saya harap di sana nanti, saya dapat menghasilkan keputusan yang baik," katanya. 

Berikutan kejayaannya menjuarai Kejohanan Kebangsaan awal bulan ini, Iskandar mula menemui semula keyakinan selepas dihimpit kecederaan. 

Begitupun, masih terlalu awal buat dirinya berasa terlalu selesa kerana slot perseorangan ketiga dalam Piala Thomas masih lagi terbuka. 

"Pemilihan pemain masih lagi dalam perbincangan, mungkin kejohanan akan datang akan menjadi penentu. 

"Saya harap dengan status 'underdog', kami dapat menghasilkan prestasi yang lebih baik," katanya. 

Advertisement

Must Watch Video