Lee Zii Jia sedang berunding untuk melantik seorang jurulatih baru sambil juara Seluruh England 2021 itu memberi bayangan bahawa calon tersebut merupakan seseorang yang pernah melahirkan pemain handalan.

“Kami sedang berbincang dengan beberapa calon dan saya akan mengesahkan nama itu sebaik sahaja kami mencapai kesepakatan.

"Buat masa ini, apa yang saya boleh sahkan ialah salah seorang daripadanya pernah mengendalikan seorang juara,” katanya yang menewaskan Ng Tze Yong 21-8, 18-21, 21-12 dalam Piala Presiden di Stadium Juara, Bukit Kiara, malam tadi.

Kejohanan simulasi itu -- Malaysian Tigers yang diketuai Zii Jia mengalahkan Malaysian Eagles 4-1 --
menjadi medan buat seluruh kontinjen yang akan mengharungi Piala Sudirman di Suzhou, China yang bermula Ahad ini.




Dengan acara berpasukan campuran juga menawarkan mata kelayakan untuk Sukan Olimpik Paris tahun depan, pemain perseorangan perfesional itu mula mengambil langkah progresif untuk mendapatkan ketua jurulatih sepenuh masa.

Ketika ini, dia masih dibimbing oleh Liew Daren yang baru bersara.

Dalam Piala Sudirman, Malaysia sekumpul dengan India dan Taiwan.